suria

“Semua ahli keluarga ada di sisi, Pak Lah pergi dalam keadaan tenang” - KJ

Jenazah Tun Abdullah akan dikebumikan di Makam Pahlawan pada Selasa.

JENAZAH bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan di Makam Pahlawan yang terletak di Masjid Negara pada Selasa.

Menantunya, Khairy Jamaluddin atau KJ menerusi satu sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) berkata upacara pengebumian akan diadakan selepas pukul 1 tengah hari.

"Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur dan pada pagi esok akan dibawa ke Masjid Negara. Dari pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari, jenazah akan ditempatkan di dewan solat utama Masjid Negara untuk memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

UMNO Youth chief Khairy Jamaluddin hugging hisfather in law, former prime minister and former Umno president Tun Abdullah Ahmad Badawi.Looking on at right is Tun Jeanne Abdullah.AZHAR MAHFOF/The Star

Foto kenangan Khairy bersama Tun Abdullah. 

“Bagi yang bukan beragama Islam, kami mohon agar datang dengan pakaian yang sesuai. Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan,” kata Khairy.

Khairy turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan untuk pengebumian di lokasi tersebut.

Tambah Khairy, Tun Abdullah atau Pak Lah dikelilingi oleh insan tersayang ketika menghembuskan nafas terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

“Kesemua ahli keluarganya berada di sisi, termasuk isterinya. Pak Lah pergi dalam keadaan tenang.

“Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak IJN kerana menjaganya dengan begitu baik dan memastikan dia tenang di saat-saat akhir,” katanya.

Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Insitut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 petang, Isnin.

Artikel Lain