suria

Tun Abdullah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

Jenazah Tun Abdullah selamat dikebumikan pada Selasa. Foto FAIHAN GHANI/The Star

JENAZAH bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur pukul 2.30 petang, Selasa.

Istiadat pengebumian Allahyarham yang penuh hiba dilaksanakan mengikut Istiadat Pengebumian Negara, sebagai penghormatan tertinggi atas jasa dan sumbangannya.

Keranda Tun Abdullah Ahmad Badawi dibawa ke Makan Pahlawan. -Foto FAIHAN GHANI/The Star

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Negara selepas Zohor, dengan solat jenazah, bacaan tahlil dan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua ahli keluarga ada di sisi, Pak Lah pergi dalam keadaan tenang” - KJ

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, selain barisan pemimpin tertinggi negara dan negeri.

Turut kelihatan di sisi pusara Allahyarham ialah balu beliau, Tun Jeanne Abdullah, serta anak-anaknya Datuk Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah, bersama menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim pay last respects to the funeral of former prime minister Tun Abdullah Ahmad Badawi at National Mosque, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The StarAnwar hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur. -Foto FAIHAN GHANI/The Star

Penghormatan terakhir kepada Allahyarham dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari  di Masjid Negara.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), pada Isnin.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri ke-5 dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pak Lah turut dikenang oleh penganalisis politik sebagai Bapa Reformasi kerana sikapnya yang terbuka terhadap pengkritik.

Artikel Lain