HASRAT seorang lelaki untuk menunaikan solat Maghrib tidak kesampaian apabila dia ditemukan maut akibat dipatuk ular tedung selar di Pekan, Pahang pada Isnin.
Ketika kejadian, mangsa Zainal Azharuddin Zainal Abidin, 52, dalam perjalanan ke surau di Surau Kampung Tanjung Chempaka yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Menurut adik mangsa, Zainal Amri, 50, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam, ketika abangnya itu keluar menaiki kereta untuk menunaikan solat maghrib.
“Arwah sempat keluar dari kereta dan dipercayai ternampak seekor ular lalu berpatah balik mengambil sebatang buluh dari dalam kenderaan.
"Namun, ketika berpaling arwah dipatuk pada betis dan rebah tidak jauh dari keretanya,” katanya.
Mangsa dipercayai maut dalam tempoh yang singkat selepas dipatuk ular berbisa tanpa disedari sesiapa ketika kejadian berlaku.
Menerusi foto dimuat naik di media sosial, kelihatan buluh yang digunakan sebagai senjata itu masih berada dalam genggaman tangan mangsa.
Difahamkan ketika mayatnya ditemui, kelihatan kaki arwah sudah dihurung semut.
Menurut adik lelaki mangsa, kawasan sekitar lokasi insiden merupakan kebun kelapa dan kelapa sawit yang turut dikenali sebagai habitat pelbagai spesies ular termasuk jenis berbisa.
Kehilangan mangsa hanya disedari awal pagi Selasa apabila kakaknya, Zainol Aluyah Zainal Abidin, 58, menyedari arwah tiada di dalam bilik ketika mahu mengejutkannya untuk menunaikan solat Subuh.
Allahyarham yang masih bujang tinggal bersama kakaknya dan sering mengunjungi masjid atau surau berhampiran terutamanya pada waktu malam.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada patukan ular berbisa.
Jenazah Allahyarham Zainal Azharuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelak sebelum waktu Zohor, pada Selasa.