SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun maut dalam kemalangan tragis selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di Taman Tangga Batu Perdana, Melaka pada pagi Selasa.
Ketika kejadian mangsa, Nurnie Alisya Mohamed Noor yang juga peniaga nasi kerabu, sedang dalam perjalanan ke gerainya sebelum terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 10.45 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Tangga Batu ke gerainya di sebelah kanan Taman Tangga Batu Perdana.
Dalam masa sama sebuah treler dipandu lelaki berusia 43 tahun sedang bergerak dari arah Tangga Batu menghala ke Ayer Keroh.
"Motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah kiri jalan cuba memotong treler yang bergerak dari Tangga Batu ke Ayer Keroh.
"Akibatnya, berlaku perlanggaran antara motosikal dengan treler itu hingga menyebabkan penunggangnya maut digilis di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan Selasa.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Polis juga sedang mengesan saksi bebas dan treler terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).