suria

Pemandu BMW mabuk tak mengaku bersalah rempuh penghantar makanan hingga maut

Tertuduh (kiri) mengaku tak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkoholhingga mengakibatkan kematian.

PEMANDU kereta mewah jenis BMW yang merempuh seorang lelaki hingga maut dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, mengaku tidak bersalah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh, Kok Zi Kang, 25, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis BMW530i dengan kadar alkohol dalam darah sebanyak 76mg/100ml, melebihi had yang ditetapkan iaitu 50mg/100ml sehingga menyebabkan kematian penghantar makanan, Mohd Taufik Arif Sariff.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 selain hilang kelayakan memandu.

Dia turut didakwa mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang bukan kepunyaan kenderaan yang dipandunya pada hari sama. 

ARTIKEL BERKAITAN: Niat bantu mangsa kemalangan berakhir tragedi... Lelaki maut dirempuh pemandu BMW mabuk

Untuk kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwa Raya, Amirah Tasnim meminta mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dengan tiga syarat lain, iaitu lapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh meminta jaminan yang minima mengambil kira tertuduh menanggung ibu dan ayahnya dengan pendapatan bulanan RM4,000 sebagai pekerja bengkel.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan dan serahan dokumen pada 19 Mei depan.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.10 pagi di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, Ahad lalu, mangsa yang berusia 37 tahun dirempuh ketika sedang membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas.

Sewaktu kejadian, mangsa sedang menjaga laluan bagi mengelakkan penunggang motosikal berkenaan dilanggar kenderaan lain.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian dalaman dan dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Lain