PETALING JAYA: Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki yang sering diganggu oleh penampakan makhluk halus, kini tular di media sosial. “Video ini saya ambil setelah sering kali diganggu oleh penampakan. Apa yang akan anda saksikan pasti akan membuka mata anda apa yang berlaku seterusnya,” menurut keterangan menerusi video berdurasi hampir tiga minit itu. Video tersebut yang turut dikongsi di halaman Facebook ‘Viral Media Johor’ pada Isnin, menunjukkan seorang lelaki seperti pengamal perubatan sedang melakukan sesuatu, dipercayai cuba membantu menyelesaikan masalah misteri di dalam bilik itu. 'Pengamal perubatan' cuba melakukan sesuatu, dipercayai cuba membantu menyelesaikan masalah misteri di dalam bilik. Ketika ‘upacara’ tersebut dilakukan oleh pengamal perubatan tersebut, turut kelihatan seorang lagi lelaki di dalam bilik itu. Secara tiba-tiba muncul kelibat menyerupai seorang wanita berambut panjang berpakaian putih di luar tingkap. Babak seterusnya yang menunjukkan kedua-dua lelaki berkenaan lari lintang-pukang kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan ia sebagai lucu termasuk dianggap keterlaluan, apabila ia sebenarnya adalah video promosi produk bidai oleh sebuah syarikat rekaan dalaman di Bangi, Selangor. “Hahaha. Memang baik dia punya promosi bisnes dia,” kata seorang netizen yang tertarik dengan video berkenaan. “Hahaha. Tipah tertipu. Mula-mula tengok macam betul-betul je. Tapi bahagian akhir tu hahaha,” kata seorang lagi netizen. Kelibat seorang wanita berambut panjang di luar tingkap. Pengarah syarikat berkenaan, Mohammad Suhainy Abdul Rahim, 41, berkata, tidak dinafikan konsep dan jalan cerita ‘penampakan’ di tingkap merupakan ideanya secara spontan, bagi membuatkan penonton terus terpaku menyaksikan video tersebut sehingga babak akhir. Dia yang mengusahakan perniagaan rekaan dalaman bersama isteri sejak lebih 10 tahun lalu berkongsi pengalaman pernah mengalami gangguan misteri, yang membuatkannya sering terjaga dari tidur pada waktu tengah malam. “Gangguan misteri tu buat saya asyik terjaga daripada tidur. Bila terbangun, benda pertama tengok sudah tentu tingkap bilik. Kipas angin yang berdekatan membuatkan langsir itu bergerak-gerak. “Ketika tu biasalah, dalam keadaan terkejut... sesiapa pun akan ada imaginasi yang macam-macam, bukan-bukan sampai terbayangkan ada penampakan hantu di sebalik langsir atau luar tingkap tu,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Mohammad Suhainy yang merupakan seorang artikek bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai gangguan misteri yang dialaminya sebelum ini. Babak kedua-dua lelaki lari lintang-pukang selepas terlihat hantu mengundang pelbagai reaksi netizen. Walaupun tidak mempunyai pengalaman melihat kelibat hantu di tingkap sebagaimana yang ditunjukkan di dalam video promosi bidai itu, sebaliknya bapa tujuh anak ini pernah merasai pengalaman mistik dua tahun lalu. Mohammad Suhainy yang berpengalaman sebagai arkitek selama 17 tahun berkata, kejadian berlaku semasa memandu dalam perjalanan pulang dari rumah bapanya di Putra Heights, Selangor ke rumahnya di Bangi pada waktu dekat senja. “Saya nampak kelibat seorang wanita di tepi jalan, dan rasa terkejut itu membuatkan saya meremang bulu roma. Peliknya, bila saya cerita kepada ahli keluarga lain yang turut berada dalam kereta, semua tak nampak wanita berkenaan,” katanya. Mohammad Suhainy (kiri) bersama isteri mengusahakan perniagaan rekaan dalaman selama lebih 10 tahun. Mengenai video penampakan hantu sebagai strategi pemasarannya, dia tidak menyangka ia mendapat perhatian netizen di laman sosial. “Macam pengalaman saya dan imaginasi masyarakat kita, bila nampak langsir bergerak-gerak bila terjaga waktu tengah malam, mesti terbayangkan macam-macam. Kalau pakai bidai tak ada lah bergerak-gerak, tak fikir ada hantu. “Sebenarnya, kelebihan bidai berbanding langsir adalah penggunaannya mudah dilaraskan dan boleh mengawal tahap kemasukan cahaya matahari dalam bilik,” katanya sambil menambah bidai juga sesuai untuk dekorasi rumah yang ringkas dan sederhana, selain penjagaannya yang lebih menjimatkan.