NAMPAKNYA kisah tular melibatkan wanita yang mendakwa bekas suaminya mengabaikan tanggungjawab terhadap anak selepas mereka berpisah terus berpanjangan. Jika sebelum ini Noriasma Abdullah bertindak mendedahkan sikap bekas suaminya itu di Twitter sehingga tular, terbaharu dia mencabar Shahrul Fazlim, 21, untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menjawab teka-teki mengenai status anak perempuannya dengan lelaki itu. Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Shahrul Fazlim, yang menafikan anak itu bukan anak kandung hasil hubungan mereka sebagai suami isteri, justeru dia enggan bertanggungjawab atau memberi nafkah kepada bayi berkenaan selepas mereka bercerai. Bukan itu sahaja, Shahrul Fazlim turut mendakwa dirinya hanyalah 'pak sanggup' apabila mengahwini Noriasma tahun lalu yang didakwanya hamil anak luar nikah. Menurut wanita berusia awal 20-an itu, memandangkan bekas suaminya tidak mengaku bahawa anak itu adalah anak kandungnya, ujian DNA mesti dilakukan secepat mungkin bagi mencari jawapan kepada persoalan ini. "Jika benar kenyataan menyatakan dia jadi 'pak sanggup' ketika berkahwin dengan saya, dia perlu melakukan ujian DNA itu. Saya tak takut untuk mencari bukti bagi menunjukkan bayi berkenaan adalah anaknya kerana saya yakin dia memang darah daging bekas suami saya. "Daripada dia mengaku dia 'pak sanggup', lebih baik dia mengaku dia tak mahu bertanggungjawab selepas mengandungkan saya. Saya akan buat laporan polis dan kemudian membawa perkara ini ke mahkamah bagi mendapatkan surat perintah untuk dia melakukan ujian DNA," katanya ketika dihubungi mStar Online. Shahrul mendedahkan bukti sijil kelahiran bagi menunjukkan bayi berkenaan bukan anak kandungnya. Menjawab persoalan mengenai perkahwinan mereka yang tidak direstui keluarga, Noriasma tidak menafikannya tetapi mendakwa situasi itu berlaku kerana ahli keluarga bekas suaminya malu dengan perbuatan anak lelaki mereka sendiri. "Memang benar keluarga dia tidak merestui perkahwinan kami kerana keluarganya tidak boleh terima kenyataan bahawa anak mereka sudah menghamilkan saya. "Mereka takut isu ini akan menggugat perniagaan keluarga. Daripada suruh anak mereka bertanggungjawab, mereka lebih sanggup suruh Shahrul lepas tangan dan minta kami bercerai," dakwanya. Nori memuatnaik bebenang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bekas suami. 'Drama' rumah tangga ini bermula Juumaat lalu apabila Noriasma memuat naik bebenang di Twitter meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bekas suaminya yang didakwa mengabaikan anak mereka yang sedang sakit. Noriasma dalam posting yang sama turut mendakwa bekas lelakinya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang gadis sehingga lupa akan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Dia yang menggunakan akaun @Nori menulis: "Sudah la tidak bertanya khabar dan menjenguk si anak yang sakit, malah bermadu kasih pula di laman media sosial!" Kenyataan itu mengundang kecaman netizen yang menganggap bekas suaminya itu sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun, pada Isnin bekas suaminya tampil menepis tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dengan menafikan anak tersebut bukan anak kandungnya sambil mengemukakan bukti sijil kelahiran yang menunjukkan bayi berkenaan ber'binti'kan nama lelaki lain. Baca artikel berkaitan https://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/11/13/suami-dedah-anak/