suria

“Wang ini bukan milik kami...” - Ustazah buntu simpan ‘duit mak’

Penyata akaun menunjukkan Mohd Redha memindahkan wang sebanyak RM300 berserta butiran 'duit mak' kepada akaun suami Fatimah Salma.

PETALING JAYA: Buntu selepas usahanya menjejaki seorang lelaki yang dipercayai tersilap memasukkan wang ke dalam akaun bank syarikat suaminya gagal, seorang ustazah terpaksa meminta pertolongan netizen untuk mencari pemuda itu.

Pada 6 September, pemilik akaun bank bernama Mohd Redha Mohd dikatakan telah memasukkan wang dipercayai untuk ibunya berjumlah RM300 ke akaun syarikat suami ustazah berkenaan, Fatimah Salma Mohammed.

Fatimah Salma berkata, suaminya hanya menyedari tentang perkara itu selepas menerima penyata akaun daripada pihak bank baru-baru ini.

"Suami saya pergi bank bertanya tetapi bank tak dapat bagi maklumat kerana menurut kakitangan di sana transaksi dibuat di mesin ATM.

"Kata pihak bank, kena tunggu individu itu menuntut wang tersebut kerana pihak bank tidak boleh berikan butiran pelanggan, tapi kami hairan macam mana dia (Mohd Redha) nak cari kami?," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tambah wanita yang berpengalaman menjadi guru selama 20 tahun itu, suaminya sudah bertanya dengan banyak pihak dan mengamanahkannya untuk mencari individu tersebut dengan apa cara sekali pun.

Ini kerana, pasangan itu menganggap wang berkenaan bukan milik mereka.

Fatimah Salma dan suaminya berharap pemilik wang tersebut tampil untuk menuntut wang berkenaan.

"Wang ini bukan milik kami, apa lagi tertera perkataan ‘duit mak’.

"Sedih kami membayangkan duit itu untuk ibu sendiri yang mungkin sangat memerlukan.

"Bagaimana jika kami tiba-tiba dijemput Allah, apa nasib kami nanti?," ujarnya.

Menurut Fatimah Salma, dia berniat untuk menyedekahkan wang sebanyak RM300 itu kepada golongan yang memerlukan sekiranya segala usaha mereka untuk mencari pemuda tersebut gagal.

Namun, dia dan suami tetap akan mengembalikan wang itu seandainya lelaki berkenaan tampil untuk menuntut wang tersebut.

"Saya harap orang ramai yang mengenalinya atau dia sendiri yang membaca tentang perkara ini dapat menghubungi kami.

"Wang ini menjadi satu bebanan untuk kami, semoga Allah permudahkan," katanya yang mengajar di Seremban 2.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pemindahan wang, penyata bank

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan