SUDAH menjadi trend masa kini bagi setiap pengantin perempuan untuk mempunyai barisan pengapit sebagai pelengkap sebuah majlis persandingan. Jika pada zaman ibu bapa kita dahulu, pengapit cuma cukup seorang dan beberapa orang lagi diperlukan untuk membawa dulang hantaran. Selain itu, busana tidak sedondon bukan masalah kerana yang penting majlis pasangan raja sehari yang diraikan berlangsung dengan lancar. Kini, pengapit atau lebih popular dipanggil 'bridesmaids' seakan-akan menjadi kemestian untuk memeriahkan suasana majlis perkahwinan. Namun, di sebalik menjadi penyeri majlis, jurusolek perkahwinan Intan Nabila Syafinaz Kaharuddin, 24, berkongsi pengalamannya berdepan sikap mengecewakan pengapit di sebuah majlis perkahwinan tahun lalu. Paparan skrin yang menunjukkan posting jurusolek itu di Twitter. Jurusolek yang menetap di Shah Alam itu meluahkan rasa kesalnya di Twitter pada Ahad dan hantaran tersebut diulang kicau sebanyak 9,736 kali. Melalui posting berkenaan, wanita berusia 24 tahun ini bercerita tentang sikap pengapit yang membiarkan pengantin perempuan terkial-kial cari mahkota tanpa bantuan pada hari bahagianya semata-mata kerana mereka ingin keluar bersarapan. "Sepatutnya pengapit membantu pengantin pada hari bersejarahnya, bukan datang untuk mencantikkan gambar sahaja. "Pengantin perempuan mestilah berdebar nak tunggu detik pernikahan. Jadi, peranan pengapit adalah untuk menemani dan menenangkannya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Jelas jurusolek tersebut, tugas pengapit cukup sekadar untuk memudahkan pengantin dan bukannya perlu bekerja seperti orang gaji. Intan Nabilah Syafinaz merupakan ibu kepada dua cahaya mata. - Instagram @intankaharuddin "Banyak benda yang pengapit boleh tolong. Contohnya, jagakan telefon bimbit pengantin atau ambilkan barang sedikit-sedikit ke... benda-benda macam itulah yang boleh mereka lakukan. "Bukan tinggalkan pengantin seorang diri tanpa bantuan. Saya sendiri terkejut bila pengapit cakap mereka nak keluar bersarapan dan siap cakap nak jumpa pengantin terus di dewan sahaja nanti. "Bukan seorang sahaja, tapi semua pengapit hilang. Saya pula yang kena tenangkan pengantin kerana dia tidak dapat kawal perasaan," ujarnya. Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, semua itu dapat dielakkan jika kedua-dua pihak iaitu pengantin dan pengapit berkomunikasi dengan baik sebelum majlis berlangsung. Menurutnya lagi, pihak pengantin harus tahu batas jika ingin meminta pertolongan pengapit mereka, manakala pihak pengapit pula perlu bersedia membantu ketika diperlukan.