suria

Doktor kecewa ada ibu bapa hanya minta periksa tapi tak benar anak dirawat

Insiden berkenaan berlaku di sebuah hospital di Perak, sekitar September lalu. - Gambar hiasan/essentialkids.com.au

PETALING JAYA: Jika sebelum ini tular mengenai golongan anti vaksin, kali ini perkongsian seorang doktor mengenai ibu bapa yang menolak rawatan hospital untuk anak mereka mendapat perhatian ramai.

Menerusi perkongsian di laman Twitter pada Ahad, Dr Khairul Anuar (gambar), bercerita mengenai kisah itu yang berlaku sekitar September lalu.

Menurut doktor berusia 27 tahun ini, dia mengakui kecewa dengan pendirian ibu kanak-kanak tersebut yang enggan menerima rawatan moden.

"Sewaktu saya panggil masuk ke bilik rawatan, ibunya minta saya periksa, tapi dia cakap tak mahu sebarang rawatan hanya mahu tahu keadaan kesihatan anaknya sahaja.

"Sebagai doktor, kalau saya periksa dan nampak ada sesuatu yang perlu dirawat, tentunya melanggar etika dan menjadi satu kesalahan jika saya tak memberi rawatan.

"Hasil pemeriksaan, anaknya mengalami bengkak tonsil tahap dua, ia bengkak, merah serta kelihatan anak tersebut nampak sakit ketika menelan air liur," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online.


Menurut Dr Khairul lagi, pada mulanya hanya kanak-kanak tersebut dan ibunya ada di dalam bilik rawatan.

Namun, sejurus kemudian, dia memanggil bapa budak lelaki itu berikutan keengganan ibunya untuk menerima rawatan.

Tambahnya lagi, dia memberi ubat antibiotik bagi masalah berkenaan dan menasihati supaya segera kembali ke hospital jika keadaan anak mereka berlarutan dan semakin teruk.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah hospital di Perak itu, Dr Khairul berkata, dia turut menasihati pasangan berkenaan bagi memberi kefahaman mengenai risiko buruk jika kanak-kanak tersebut gagal mendapat rawatan sewajarnya.

Perkongsian mengenai kisah berkenaan menerima lebih 15,000 ulang kicau (Retweet) sejak ia dimuat naik dan turut dihujani komen-komen netizen yang mempertikaikan sikap ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Posting Dr Khairul yang menarik perhatian ramai di Twitter.

Dalam pada itu, Dr Khairul berkata, ia bukanlah kes pertama seumpamanya, malah rakan-rakan dalam bidang perubatan juga sering berhadapan pesakit yang tidak mempercayai rawatan moden.

"Tipulah kalau tak kecewa, kalau periksa tapi tak mahu dirawat, ia ibarat saya buat kerja tak habis.

"Ada juga pesakit yang bandingkan dengan orang yang berpenyakit sama mampu sihat meskipun tidak patuh pada jadual ubat dan pemeriksaan lanjutan.

"Saya suka bagi analogi mengenai pemandu yang tak pakai tali pinggang keledar. Ada hari kita selamat, ada hari boleh kemalangan. Jadi janganlah perjudikan diri," katanya yang menganggap perbandingan tersebut tidak relevan dan meminta orang ramai memanfaatkan teknologi perubatan moden.

Katanya, bukan menolak 100 peratus rawatan tradisional, namun terdapat banyak teknologi perubatan yang berupaya membantu pesakit secara efektif, pada zaman ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain