suria

Gara-gara tak puas hati caj servis inai mencanak ke RM550, usahawan kosmetik ‘disekolahkan’ suruh kahwin ‘simple-simple’

(Gambar kiri) Wan Nur Syuhada. (Gambar kanan) Lukisan inai yang dikenakan caj RM550. Foto Facebook WN Syuhada

NIAT mahu kelihatan berseri-seri mengikut tema majlis, seorang usahawan kosmetik bukan sahaja kesal kerana harga khidmat melukis inai yang melampau, malah dikecam netizen tanpa usul periksa.

Terdahulu, postingnya mengenai harga servis inai yang dipersetujui hanya RM150 tetapi selepas diminta supaya dilukis panjang sedikit, caj yang dikenakan mencanak sampai RM550.

“Harga dia setuju mula-mula RM150 untuk inai tangan sahaja... Syu minta nak panjang sikit dari kawan Syu, lepas tu bunga nak lebat sikit. Lepas tu last-last (selepas siap) dia beritahu harga RM550.

“Lepas dah kering tu aduhai stres tengok tak ada rupa inai langsung. Auntie ni awal-awal dah lari tak tunggu kering. Katanya nak cepat nak ambil anak dia.

“Mula-mula pertikai juga harga tu. Dia kata sebab corak susah, tambahan pula pengalaman dia dah 17 tahun. Syu macam pelik, takkan tambah panjang sikit harga mencanak naik. Kawan punya RM150, tapi Syu punya RM550, kos pengangkutan pula lain. Tapi sebab dah penat waktu tu jadi bayar saja lah,” katanya menerusi posting pada Khamis lalu, sehingga tular.

Tangan Syu dilukisan dengan inai.

Namun apa yang dikesalkan oleh Syu atau nama sebenarnya Wan Nur Syuhada Wan Norzi, ada netizen yang salah faham mengenai luahan rasa tidak puas hatinya berhubung caj berinai yang tinggi itu.

Usahawan berusia 28 tahun itu berkata, dia dikecam netizen kerana membazir untuk berinai sempena majlis perkahwinannya sehingga dikenakan caj melampau.

“Netizen tu kata “sebab tu dalam Islam orang suruh kahwin ‘simple-simple’ tak ada inai semua. Padan muka Tuhan marah tu sampai kena cekik (darah) RM550’.

“Sebenarnya netizen yang kecam saya ni menegur tanpa usul periksa. Bila pula saya berinai untuk berkahwin? Saya sebenarnya dah kahwin selama lapan tahun, bukan baru nak kahwin. Luahan saya pasal majlis makan malam, bukan majlis kahwin,” katanya dengan nada kesal, ketika dihubungi mStar Online, pada Sabtu.

Keluhan Syu selepas dikecam netizen susulan perkongsiannya mengenai kos melukisan inai yang tinggi.

Syu yang berasal dari Kota Bharu menjelaskan bahawa tujuan dia berinai demi memenuhi tema Bollywood bagi majlis makan malam untuk meraikan 200 stokisnya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, akhir bulan lalu.

Jelasnya lagi, majlis perkahwinannya dulu dilakukan serba ringkas, malah ketika akad nikah pun tidak langsung memakai inai.

“Yang penting kami disatukan pada majlis akad nikah. Tapi untuk majlis makan malam bertemakan Bollywood, sudah tentu saya mengikut tema dengan memakai inai.

“Sebab tu netizen ni kena baca dulu apa yang saya cuba sampaikan. Isunya di sini adalah harga servis berinai yang tak relevan, bukan pasal saya kahwin mahal,” katanya yang mengusahakan perniagaan kosmetik sejak dua tahun lalu.

Syu anggun dengan pakaian sari sempena majlis makan malam bertemakan Bollywood. Foto ihsan Wan Nur Syuhada

Malah apa yang lebih dikesalkannya apabila netizen yang mengecam itu sebenarnya turut membuat lukisan inai pada majlis perkahwinannya sendiri.

“Bila buka akaun Facebook netizen yang kecam saya tu,rupa-rupanya dia dah pun berkahwin dan ada kongsikan gambar dia masa kahwin dahulu.

“Alahai... sibuk kecam orang, difitnah kata nak pakai inai untuk kahwin, tapi dia sendiri pakai inai masa kahwin. Cerminlah diri sendiri tu dulu sebelum nak tegur orang dan yang penting baca dan selidik dulu,” ujarnya.

Syu meraikan kira-kira 200 stokis dalam majlis makan malam bertemakan Bollywood.

Mengenai keluhannya berhubung caj berinai yang melampau itu, Syu mengakui kesilapannya untuk tidak bertanya terlebih dahulu kos tambahan berdasarkan permintaannya.

“Bagi saya, ia masih tak relevan sebab RM150 untuk jari sehingga ke pergelangan tangan, tapi bila dipanjangkan sedikit tak sampai siku kena caj RM550. Ikutkan dia caj RM600 tapi katanya bagi diskaun RM50. Dahlah mahal, hasilnya pula tak memuaskan.

“Bila dah kongsi pasal inai ni, baru saya tahu harga semasa caj melukis inai sebenarnya masih tidak semahal yang saya kena,” katanya, sambil menambah sekurang-kurangnya perkongsiannya membuka ruang dan peluang kepada pengusaha lain untuk mempromosikan perkhidmatan melukis inai pada harga berpatutan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain