JANGAN nafikan hak bermain anak-anak, biarkan mereka terokai dunia sekeliling dengan keupayaan dan kehendak sendiri. Demikian nasihat Farah Najwa Shauqi, 33, ibu kepada dua orang anak yang menganggap dirinya melakukan kesilapan gara-gara mementingkan penguasaan akademik semasa mendidik anak sulungnya, Ammar Zhafran Mohd Azmi, empat tahun. Jelas wanita yang berasal dari Bidor, Perak ini, dia terlalu fokus kepada penguasaan akademik sehingga terlupa fasa bermain yang sebenarnya penting untuk merangsang deria dan sensori sentuhan kanak-kanak. ”Sebenarnya sebelum kahwin setiap wanita memang ada perasaan nak jadi ibu yang baik, nak anak yang bagus. Jadi perkara itu mendorong saya nak anak pandai. ”Kebetulan pula anak saya ni memang cepat tangkap. Jadi saya guna kesempatan tersebut untuk ajar dia macam-macam perkara," katanya kepada mStar Online. Menurut Farah Najwa, Ammar sudah mula membaca dan menghafal lebih 20 surah pada usia tiga tahun setengah. ”Dia juga mengenal huruf dan dapat memadankan kesemua huruf kecil dan huruf besar pada usia dua tahun. ”Sekarang pada usianya empat tahun, Ammar sudah masuk separuh buku Iqra' kedua," katanya. Ammar sedang memadankan huruf besar dan huruf kecil. Perkembangannya agak luar biasa tetapi Farah Najwa berkata dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya. ”Pada usia tiga tahun dia masih belum boleh menangkap bola pada paras dada. Malah tangannya tak cukup kuat untuk menyepit objek menggunakan forsep mainan. Tangannya juga tak mampu bergayut walau dua saat di 'monkey bar’. "Dia juga geli memijak pasir, geli duduk pada kerusi kulit dan menjerit bila memegang ais. Jika nak pegang aiskrim kena ada lapik malah kalau dakwat pen terkena pada tangan pun dia akan mengamuk," katanya. Pada awalnya Farah Najwa berpendapat masalah yang dihadapi Ammar itu hanya perkara kecil dan biasa kerana percaya setiap kanak-kanak ada kelebihan dan kekurangannya. Bagaimanapun selepas menghadiri kelas keibubapaan yang dikendalikan seorang pakar terapi carakerja (OT) awal tahun ini, dia menyedari Ammar mempunyai simptom masalah sensori sentuhan atau Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD). ”Mulanya cuma perasan tapi tak tau apa masalahnya. Jadi masa pergi kelas dengan OT Maryam tu yang kesan dia ada simptom yang kebiasaan ada pada anak-anak yang ada kecelaruan neurologi. ”Tanda-tanda yang disebut OT Maryam itu sekali gus mengesahkan yang Ammar mempunyai masalah SPD," katanya. Ammar melakukan aktiviti yang merangsang deria sentuhannya. Jelas Farah Najwa dia menarik nafas lega apabila menyedari masalah yang dialami anaknya itu dengan cepat. ”Nasib baik saya cepat sedar. Mujur Allah cepat temukan saya dengan pakar. Ammar mungkin membaca awal dan cepat tangkap dalam pembelajaran, tapi masalah ini jika saya tak sedar dari awal, akan mengganggu pembelajarannya bila dia mula bersekolah nanti. ”Sebagai contoh kalau deria sentuhan dia tidak dikuasai dengan baik ia akan bawa masalah kepada motor halus. Dia akan ada masalah kalau nak menulis malah nak pakai butang baju pun tak boleh, begitu juga kalau nak ikat kasut," katanya. Farah Najwa berkata selepas melakukan pelbagai aktiviti rangsangan sensitiviti Ammar semakin berkurangan. ”Saya ikut apa yang disarankan OT dan bila saya buat nampak keberkesanannya, jadi tak perlu pergi terapi dah. ”Alhamdulillah dia dah boleh pegang ais... makan aiskrim pun tak payah berlapik lagi," katanya. Farah Najwa bersama Ammar dan anak keduanya, Aqlan Zahien (tengah). Susulan pengalaman yang dilaluinya itu, Farah Najwa berkata dia kini memberi kebebasan kepada anak keduanya, Aqlan Zahien Mohd Azmi, dua tahun, untuk melalui fasa seiring perkembangan usianya. ”Bila dah jadi macam ini banyak yang saya belajar. Kini adik dia (Ammar) beruntung kerana tak perlu melalui zaman penekanan akademik lagi seperti abang dia," katanya. Menurut Farah Najwa lagi, melalui bermain anak-anak boleh membina asas akademik mereka. “Dari bermainlah anak akan belajar komunikasi dan membina keyakinan diri. Dan dari bermainlah daya tumpuan anak dipertingkat. ”Bukan itu sahaja, kesemua deria mereka berstimulasi dan berintegrasi bersama dengan baik," katanya.