suria

Gadis kesal gambar bertudung labuh pun lelaki nak komen lucah; “Benda tu dah jadi bahan lawak untuk mereka”

Safiya menerima komen lucah di Instagram sebelum membuat perkongsian mengenai hal itu di Twitter. FOTO: @Safiyaezzati_

MARAH dan terkejut, begitulah reaksi seorang gadis sewaktu melihat komen lucah yang diterimanya di laman sosial.

Lebih menyedihkan, foto yang dimuat naik oleh Nur Safiya Ezzati Che Sakri, 24, bukanlah foto seksi, sebaliknya lengkap menutup aurat dengan mengenakan tudung labuh.

Pengusaha spa itu ketika dihubungi mStar Online mengakui itu bukanlah kali pertama dia menerima komen-komen berbaur lucah, khususnya menerusi laman Instagram.

"Sebelum ni pun selalu kena juga. Kalau buat live Instagram pun mesti akan ada yang komen lucah.

"Rasa maruah macam dipijak, pernah sampai satu tahap rasa macam nak nyah aktif (deactive) akaun.

"Tapi saya ni berniaga, kenalah tonjolkan diri. Mungkin saya perlu cegah dengan cara kurangkan muat naik gambar," ujar Safiya pada Jumaat.

Antara komen serta mesej berbaur lucah yang diterima Safiya.

Menurut gadis itu lagi, dia juga pernah menjadi mangsa apabila gambarnya dimuat naik ke laman Tumblr oleh individu tidak dikenali dan dijadikan sebagai bahan sembang seks.

Lebih menyedihkan apabila wujudnya lelaki lain yang seolah-olah menyokong komen-komen lucah yang ditulis untuk dirinya di laman sosial.

"Benda tu dah jadi bahan lawak untuk mereka. Akan ada lelaki lain pula yang back up. Di mana maruah mereka sampai sanggup komen lucah dekat perempuan yang mereka tak kenal pun?

"Bagaimana jika benda tu terjadi kepada ahli keluarga perempuan mereka? Bila saya lihat profile mereka, kebanyakannya bio di Instagram bersifat Islamik, tapi tetap komen lucah.

"Tapi takkan saya nak marah balik, apa beza saya dengan individu tu? Jadi saya doakan sahaja, semoga Allah rahmati mereka," katanya.

Paparan skrin perkongsian Safiya di Twitter.

Dalam pada itu, pendedahan Safiya yang memuat naik paparan skrin komen lelaki berkenaan di Twitter menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 1,800 ulang kicau (Retweet).

Malah, kebanyakan netizen turut meluahkan rasa marah dan jijik mereka atas perbuatan tidak senonoh lelaki berkenaan.

"Post lah gambar pakai niqab sekali pun, kalau dah nafsu binatang tu memang tak boleh buat apa," tulis @naziruladlii.

"Yes, saya pun pernah kena. Rakan sekerja pulak tuh. Berlaku betul-betul depan saya... Saya tanya dia nak apa as penghargaan sebab dah tolong kerja saya dan tahu dia minta apa? "Nak tu" (dada) and i was like... terdiam.. Tak sangka dia macam tu," kongsi seorang lagi pelayar Twitter.

Safiya merupakan pengusaha spa di Alor Star, Kedah.

Safiya juga menasihati semua individu agar berfikir dahulu sebelum meninggalkan komen di laman sosial.

"Lelaki sepatutnya diajar untuk hormati wanita. Kena fikir, kalau benda tu jadi kat diri sendiri, orang komen buruk atau aib, tetap rasa sakit.

"Kalau komen, kena fikir maruah sendiri, maruah keluarga serta maruah orang yang kita komen tu," ujarnya yang mengusahakan perniagaan spa di Aman Central, Alor Star, Kedah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain