suria

Kagum isteri pandai masak walau baru sebulan kahwin, suami dedah rahsianya!

Lukman dan isterinya, Zuraini semasa mereka berada di Roding, Jerman. - Foto ihsan Lukman.

BAGAIKAN satu kemestian untuk setiap gadis pandai memasak sebelum mendirikan rumah tangga.

Namun dalam zaman serba moden ini, perkara itu tidak lagi menjadi satu indikasi utama dalam perkahwinan, apatah lagi dengan kewujudan banyak restoran dan aplikasi tempahan makanan.

Berbeza pula ceritanya dengan seorang jejaka yang baru mendirikan rumah tangga empat bulan lalu yang berkongsi mengenai perihal ini di laman Twitter sehingga menarik perhatian ramai.

Menurut Luqmanul Hakim Hassan, isterinya Zuriani Fairuz Zulkifli tanpa segan-silu mengakui dirinya tidak pandai memasak sewaktu di awal perkenalan mereka.

Posting Lukman tular di Twitter.

"Saya baru sahaja berkahwin pada 18 Ogos lalu. Sebelum berkahwin isteri saya cakap dia tak pandai memasak.

"Sebelum ni dia adalah juga cuba nak goreng-goreng tapi masih takut dengan percikan minyak semasa sedang menggoreng ayam atau ikan," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, jejaka berusia 24 tahun itu berkata dia sentiasa memberi sokongan kepada isterinya untuk belajar memasak.

"Sebenarnya saya bekerja di Jerman. Jadi lepas kahwin saya bawa isteri datang ke sini (Jerman). Sepanjang di sini saya dan isteri sentiasa masak bersama memandangkan kos makan di luar amat mahal.

"Dari situ setiap hari isteri saya belajar perkara baharu. Dan bagusnya isteri saya memang betul-betul semangat nak belajar memasak. Jadi kalau saya pergi kerja, dia selalu tengok YouTube atau mana-mana blog memasak," katanya.

Jurutera muda itu turut berpendapat suami tidak seharusnya mengkritik masakan isteri seandainya ia tidak menepati selera mereka.

Antara menu hasil air tangan isteri Lukman.

"Saya tak nafikan memang ada orang yang cerewet bila isteri masak tak sedap. Tapi cara kita sebagai suami untuk tegur atau menutup cacat cela isteri tu sangat penting.

"Daripada mengkritik kita cuba bantu isteri supaya dia ada keinginan untuk memasak. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip sentiasa sokong, bimbing dan jangan beri tekanan kepada isteri," katanya.

Oleh kerana sering memasak semasa berada di bumi asing, Lukmanul atau lebih mesra disapa Lukman, terkejut dengan pencapaian isterinya yang sudah pandai memasak dalam tempoh sebulan.

"Ada satu hari tu saya terkejut sebab lepas balik kerja semua masakan dah dihidangkan dan semuanya dimasak isteri.

"Sejak itu, saya dah tahu isteri saya sudah pandai memasak dan serius sedap. Lepas isteri pandai masak saya beritahu dia hanya perlu masak hari saya bekerja manakala saya pula akan masak pada hujung minggu," katanya.

Bagi Lukman, memasak bukan sekadar untuk juadah di atas meja tetapi ia dapat mengeratkan hubungan mereka sebagai suami isteri.

"Seronok sebenarnya bila masak bersama. Kadang-kadang bergurau sikit-sikit. Dari situ hubungan suami isteri jadi lebih mesra," katanya.

Pasangan ini baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu.

Menurut jejaka dari Melaka itu, antara menu kegemaran yang pernah disediakan oleh isterinya setakat ini termasuklah ayam masak merah, gulai daging, sup ayam dan soto.

"Setakat ini menu tersebut paling sedap. Saya sekarang cuma tunggu dia boleh masak asam pedas je," katanya dalam nada berseloroh.

Meskipun memasak sering dikaitkan dengan golongan wanita, Lukman berpendapat kaum adam juga sepatutnya tahu serba sedikit mengenai asas di dapur.

"Saya pun dulu masa kecil selalu je tolong mak di dapur, potong bawang. Jadi bila dah kerja dekat Jerman, saya pun belajar masak.

"Bila dah selalu buat, Alhamdulillah boleh dah memasak," katanya yang sudah dua tahun bekerja di Jerman.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Lukman, Zuriani, masak

Artikel Lain