suria

DON mahu saman malu Linda Rafar kerana didakwa fitnah jururawat

NAMPAKNYA episod pertelingkahan antara Linda Rafar dan para jururawat membuka lembaran baharu apabila badan bukan kerajaan (NGO) Delegation of Nurses (DON) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap selebriti wanita berkenaan.

Menerusi sebuah posting yang dimuat naik oleh DON pada petang Sabtu, pihaknya telah melancarkan kutipan derma untuk menegakkan keadilan bagi jururawat yang terlibat agar insiden seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

NGO tersebut mendakwa anggota kumpulan Elite itu telah memfitnah jururawat tanpa sebarang bukti kukuh.

"Kami telahpun berhubung dengan mangsa fitnah dan bersetuju untuk membantu beliau membersihkan namanya.

"Jururawat terbabit juga sudah membuat laporan polis dan segala bukti telah di simpan," menurut kenyataan yang dipetik dari laman Facebook DON.

Jelas kenyataan tersebut, tindakan undang-undang yang bakal diambil tidak berkaitan dengan kes cadar seperti yang ditularkan oleh Linda, tetapi ia berhubung kes buli siber yang dialami oleh jururawat itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh DON menerusi akaun Facebook mereka.

"Untuk makluman pembaca, pendakwaan bukan berkaitan kes #cadar, tetapi kes buli siber dan defamation (fitnah) yang melibatkan individu jururawat yang didakwa melakukan ugutan terhadap selebriti tersebut sedangkan tidak ada bukti yang kukuh.

"Ini adalah saman malu, ia tidak mengganggu siasatan dalaman oleh pihak hospital," katanya.

Tambah DON, pihak peguam yang dilantik oleh mereka juga sudah bersetuju untuk membuka fail saman terhadap artis wanita berkenaan.

DON turut menyeru agar rakan-rakan jururawat di seluruh negara untuk menyumbang derma ikhlas bagi tujuan tuntutan saman tersebut.

Sebelum ini, Linda melahirkan rasa kecewa terhadap sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam yang didakwa memberi layanan buruk apabila permintaannya untuk menukar cadar katil ibunya tidak diendahkan.

Susulan insiden itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memandang serius ke atas insiden tersebut dan menjelaskan bahawa pihak hospital sudah mengadakan pertemuan dengan selebriti berkenaan dan seorang lagi ahli keluarganya secara tertutup pada Jumaat.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain