suria

Selepas ulat sampah, video tikus berkeliaran didakwa berlaku di KLIA2 pula tular

Tangkapan skrin yang diambil daripada video tersebut.

SEBUAH video seekor tikus menguis lantai permaidani sebuah ruang rehat di KLIA2 tular di aplikasi WhatsApp dan Twitter, Ahad.

Video berdurasi satu minit 13 saat itu menyatakan kejadian itu didakwa dirakam di ruang 'KLIA2 spots/movie lounge' berserta tarikh 28 Disember 2018.

Ia dipercayai merujuk kepada tarikh video tersebut dirakamkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil pegawai AirAsia selepas muat naik video ulat sampah di KLIA2

Tikus berwarna perang itu dilihat bergerak di ruang antara dinding dan karpet bilik tersebut sebelum akhirnya lari menghilangkan diri.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai rakaman tersebut tidak dinyatakan.

Pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ketika dihubungi mStar Online memberitahu sedang meneliti rakaman tersebut dan akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat.

Seorang pelayar Twitter, @malikridhwan turut meluahkan kekesalannya terhadap video tersebut.

"Adakah anda menjangkakan untuk melihat ini (tikus) di ruang menunggu lapangan terbang?

"Seekor tikus merayau-rayau di 'movie lounge' di KLIA2. @MY_Airports tolong jelaskan tentang 'serangan' ini.

"Perkara ini tidak akan berlaku di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Saya terfikir-fikir sama ada KLIA2 mampu mencapai piawaian yang sama.

"Dan anda mengenakan PSC (Caj Perkhidmatan Penumpang) yang sama kepada kami," tulisnya di Twitter.

Bintik-bintik putih ini merupakan ulat sampah pada sebuah tong sampah yang dirakam oleh Aziz di KLIA2.

Sebelum ini, Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar pernah memuat naik video rungutan terhadap piawaian kebersihan yang teruk di KLIA2 ke akaun Twitter.

Rakaman oleh Mohd Aziz itu menunjukkan sebuah tong sampah dipenuhi ulat di KLIA2.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan MAHB yang berbangga dengan pencapaian syarikat itu dalam pengurusan lapangan terbang.

"@MY_Airports hari ini (24 Disember) mengeluarkan kenyataan bangga mengatakan KLIA & #klia2 telah melebihi sasaran kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh Kerangka Kualiti Perkhidmatan (QoS) Mavcom.

"Ini adalah video anai-anai pada tong sampah yang diletakkan di pintu p6 pada pagi ini berhampiran pintu pelepasan ke Perth," tulisnya yang kemudian menjelaskan bahawa ia adalah ulat sampah dan bukannya anai-anai.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
KLIA2

Artikel Lain