TANPA berfikir panjang, seorang wanita secara spontan menghampiri seorang lelaki Cina berusia lingkungan 50-an selepas melihat lelaki itu sukar menuruni tangga di stesen monorel NU Sentral. Dalam kejadian pada tengah hari Jumaat, wanita berkenaan, Nur Aenil Iskandar, 24, baru sahaja selesai menghadiri temu duga di sebuah syarikat swasta di ibu negara dan secara kebetulan berada di stesen yang sama untuk pulang ke Puchong. "Saya perasan ada seorang kakak asyik panda ke arah uncle tersebut yang berbangsa Cina. Jadi, saya pun melihat ke arahnya juga dan nampak dia macam susah nak turun tangga tu. "Saya terus menuju ke arah uncle tu dan tanya sama ada dia nampak atau tidak? Dia juga tak pakai cermin mata atau tongkat orang buta," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Wanita yang berasal dari Mentakab, Pahang itu memuat naik tentang insiden tersebut ke laman Twitter dan tidak menyangka ia meraih pelbagai reaksi, kebanyakannya positif dalam kalangan netizen. Posting Nur Aenil tular di Twitter. Setakat ini, posting berkenaan menerima lebih 21,000 ulang kicau (retweet) dan mendapat lebih 13,000 tanda suka (like) di Twitter. Jelas bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, itu lelaki yang dibantunya mengalami masalah penglihatan kabur dan hanya boleh melihat bayang-bayang untuk berjalan. Tambah wanita yang mesra disapa Nelly itu, dia sempat berbual dengan uncle tersebut untuk bertanya serba sedikit tentang latar belakang dirinya. "Uncle tu kata dia bukan buta sepenuhnya dan mula mengalami masalah penglihatan selepas ditimpa kemalangan. "Saya tak pasti bila kemalangan tu berlaku, tapi katanya insiden itu terjadi selepas dia sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki anak," ujarnya. Nur Aenil terharu dengan sikap rakyat Malaysia yang prihatin. Menjawab beberapa tuduhan negatif terhadap dirinya, Nur Aenil menjelaskan dia bukan ingin mencanangkan kebaikan yang dilakukannya, tetapi terharu dengan sikap prihatin rakyat Malaysia yang turut menghulurkan bantuan kepada lelaki Cina tersebut. Wanita yang kini bekerja sebagai kerani di Shah Alam itu memberitahu, terdapat beberapa orang awam berbangsa Cina, Melayu dan India tampil memberikan bantuan setelah melihat dia memimpin tangan lelaki itu. "Saya bukan nak famous, tweet tu sebenarnya nak sampaikan mesej yang kita masih amalkan perpaduan antara kaum dan hidup aman damai. "Sebenarnya, isu perkauman ni menjadi-jadi di media sosial sahaja kerana di situlah terdapat isu-isu negatif yang dikongsikan oleh netizen. "Bila dah banyak perkara negatif, lama-lama kita akan terpengaruh dan mula menokok tambah. Tapi realitinya, kita tidak begitu," kata Nur Aenil. I was on my way back to Puchong from Nu Sentral. Then dah keluar monorel dekat tangga aku perasan ada satu uncle cina ni macam mengalami kesusahan utk turun pic.twitter.com/J3Kfog6lbr — Maryamah Karpov (@nellynonoi) January 4, 2019 Posting yang dimuat naik oleh Nur Aenil.