SELEPAS tiga hari berdiam diri, usahawan kosmetik, Safiey Ilias akhirnya bersuara memberi respons mengenai jemputan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk mengadakan pertemuan bersama. Safiey atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias lebih menekankan tentang jangkaan yang bakal dihadapinya selepas pertemuan tersebut. “Bukan tak nak jumpa mufti, tapi nanti masyarakat suka 'expect too much'. Balik jumpa mufti mesti berubah jadi laki. “Lepas tu benda lain lagi orang akan cakap, (strategi) pemasaran tu nak keluar lagu baharu, produk baharu, atau satu lagi (dilabel sebagai) penunggang agama," katanya menerusi perkongsian di laman sosial Instagramnya pada Isnin. Safiey memberi repons berhubung jemputan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi posting di Instagramnya. Safiey turut meramalkan dihujani kecaman dan kritikan sekiranya tidak memutuskan untuk kembali kepada fitrah sebagai lelaki selepas pertemuan dengan mufti. “Pastu lagi satu, bodoh la dia ni memang hati hitam dah jumpa mufti masih tak berubah. Syinta (gelaran buat Safiey) dah serik dah hahaha. “Jumpa Ustaz Ebit hari tu pun korang jangka macam-macam. Salah ke nak pergi belajar ilmu agama tambah ilmu. Janji kita tahu kita ni berdosa jahil masih terdetik hati nak keluar dakwah tiga hari," katanya merujuk penyertaannya dalam program dakwah bersama pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN: Safiey Ilias pakai bikini, Mufti WP tulis surat terbuka ajak 'mengeteh' Zulkifli pada Jumaat malam lalu menerusi surat terbukanya menjemput Safiey ke pejabat beliau untuk berkongsi pandangan dan luahan bagi membolehkannya membantu usahawan muda itu untuk kebaikan bersama. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ia susulan beberapa gambar Safiey yang tular baru-baru ini, dipercayai memakai bikini selain pakaian wanita sewaktu percutiannya ke Pulau Langkawi yang dikongsi di laman sosial Instagramnya sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen. Safiey yang sebelum ini pernah menjadi sebutan kerana keputusannya untuk berhijrah daripada seorang mak nyah untuk kembali kepada fitrah, disifatkan oleh mufti sebagai satu perkhabaran yang gembira. “Semasa saudara mengumumkan untuk ‘berubah’, saya antara individu yang amat gembira dengan keputusan tersebut. Apa yang pasti, sudah tentu ia juga menggembirakan ibu bapa saudara. “Namun, laut tidak selalunya tenang. Saya faham dan mengikuti siri-siri tekanan yang saudara terima dalam usaha untuk kekal dengan ‘imej baharu’. Dan, saya tahu yang ianya amat-amat sukar untuk dilalui dan pahit untuk ditelan," kata Zulkifli sambil menambah beliau melihat Safiey benar-benar berusaha untuk keluar dari segala permasalahan tersebut. Safiey Ilias berbikini semasa bercuti di Pulau Langkawi, baru-baru ini. Foto Instagram safieyilias94 Safiey sebelum ini juga dilaporkan pernah menjalani pembedahan bagi membuang implan payu dara selain menunaikan umrah, sebagai usahanya untuk kembali ke pangkal jalan. Usahawan berusia 25 tahun itu bagaimanapun kembali tampil berpakaian wanita, sekali gus mengejutkan banyak pihak. Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, Safiey menjawab pertanyaan seorang netizen sama ada telah berjumpa Mufti Wilayah Persekutuan itu. ”Tak nak jumpa nanti orang cakap nak berubah. Penunggang agama, pemasaran dan macam-macam lagi lah," kata Safiey membalas pertanyaan pengguna instagram @syima_amanda.