suria

Dakwa rakyat Malaysia ke-2 dijemput ke HARDtalk, netizen minta Syed Saddiq semak fakta!

Gambar yang dimuat naik oleh Syed Saddiq ketika dijemput sebagai tetamu HARDtalk. - Foto Twitter

KETERUJAAN Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berkongsi mengenai peluangnya ke udara menerusi program bual bicara popular di saluran BBC United Kingdom 'memakan diri' apabila beliau mendakwa menjadi rakyat Malaysia kedua yang muncul di HARDtalk.

Menteri Belia dan Sukan tersebut menerusi posting di Twitter menulis: "BBC HARDtalk, bismillah. Doakan saya!

"Ia benar-benar satu penghormatan untuk menjadi orang Malaysia kedua selepas Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk muncul di BBC HARDtalk.

"Saya mahu dunia tahu yang Malaysia sekali lagi menjadi Harimau Asia. #YouthPower."

Syed Saddiq dijemput ke program bual bicara HARDtalk di BBC UK.

Posting tersebut turut mendapat perhatian seorang tokoh politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar yang membetulkan fakta Syed Saddiq itu pada ruangan komen.

"Biar saya betulkan fakta tersebut... saya muncul dalam HARDtalk bersama Tim Sebastian (wartawan) pada sekitar tahun 2000-an. Sudah tentu sebelum Malaysia Baru," kata bekas menteri dalam negeri tersebut.

Antara reaksi netizen dan Syed Hamid terhadap posting oleh Syed Saddiq.

Sementara itu, seorang pelayar Twitter @engku_nizam berkata: "Saya berbangga apabila rakyat Malaysia dijemput ke BBC HARDtalk.

"Saya akan lebih bangga jika anda (Syed Saddiq) tidak menulis tweet ini dengan sikap yang menunjukkan anda sangat hebat.

"Nasihat saya, anda ada potensi tapi jangan melebih-lebih."

Manakala @tnqistina pula berkata, Ahli Parlimen Muar itu harus membuat pembetulan dan pasukannya perlu menyemak fakta serta sejarah.

Tweet pembetulan oleh Syed Saddiq.

Beberapa pengguna Twitter lain turut mempersoalkan status Malaysia sebagai Harimau Asia.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit memuat naik posting dan gambarnya di BBC, Syed Saddiq melakukan pembetulan di atas kenyataannya.

"Pembetulan(*). Salah satu daripada beberapa orang, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir."

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syed Saddiq, BBC, Hardtalk

Artikel Lain