suria

“Saya tak layak… beliau tiada pengganti” – Klon P. Ramlee

Fairuz Misran dikatakan iras seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (gambar kecil).

NAMPAK macam sama tapi sebenarnya tak serupa, kedengaran juga sama tapi bukan dia. Itulah antara persoalan netizen mengenai video seorang pemuda mendendangkan lagu Maafkan Kami nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang mulai tular sejak Isnin.

Suara dan wajah terutama gaya jambul rambut dan potongan kumis, selain susuk badannya iras umpama seniman agung yang amat disegani itu.

Siapa sangka dia sebenarnya juara pertandingan nyanyian Bintang P. Ramlee peringkat kebangsaan anjuran RTM pada 2012.

Sama tapi tak serupa... (kiri) Allahyarham P. Ramlee dan Fairuz (kanan).

Bercakap kepada mStar Online, Fairuz Misran berkata, dia mula menyanyi di khayalak ramai seawal umurnya enam tahun semasa mengikut bapanya dan bapa saudara (kini telah meninggal dunia) di Sabah pada 1992.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini memberitahu, dia dibesarkan daripada keluarga yang susah maka dia berusaha untuk menyertai pertandingan nyanyian, di mana kebanyakannya menawarkan hadiah berupa wang tunai.

“Saya cuba masuk pertandingan menyanyi hampir setiap bulan, ada menang ada tidak. Hadiah wang tunai yang saya dapat digunakan buat belanja sekolah.

“Hadiah wang tunai pertama saya adalah RM50 semasa di sekolah menengah, tapi itu bukan hadiah juara. Walaupun hanya RM50, cukup bermakna bagi saya,” katanya lelaki berusia 34 tahun ini ketika dihubungi, sambil menambah bahawa lagu pertama yang dinyanyikannya di khalayak ramai adalah Suci Dalam Debu, dipopularkan oleh kumpulan Iklim.

Fairuz mula menyanyi di khayalak ramai seawal umur enam tahun.

Fairuz yang dibesarkan di Kimanis, Papar dan kini menetap di Labuan di Negeri Bawah Bayu itu memberitahu, dia sebenarnya telah menyertai pertandingan Bintang P. Ramlee pada 2010 tetapi hanya bergelar finalis tanpa sebarang kemenangan.

Namun kekalahan tidak membuatkan anak ketiga daripada tujuh beradik ini berputus asa, sebaliknya terus mencuba pada 2012 memandangkan pertandingan itu dianjurkan setiap dua tahun.

“Alhamdulillah saya menjadi johan menerusi lagu 'Barang Yang Lepas Jangan Dikenang' dan persembahan duet bagi lagu 'Hancur Badan Dikandung Tanah'.

“Bermula dari kemenangan ini, saya dikenali kerana menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee, malah sehingga kini saya hanya nyanyi lagu-lagu beliau di pentas,” katanya.

Paparan skrin video persembahan Fairuz semasa menyertai pertandingan Bintang P. Ramlee 2012.

Dia yang sudah berumah tangga memberitahu, kemenangan tersebut juga membuatkan dia digelar sebagai Ramlee berikutan suara, gaya dan wajahnya iras seniman negara itu.

“Ada orang awam yang bertanyakan sama ada saya mempunyai pertalian keluarga dengan P. Ramlee, saya katakan tak ada.

“Tapi kerana minat yang mendalam terhadap Allahyarham, saya cuba meniru gaya rambut dan misai beliau,” katanya yang merupakan penyanyi sambilan dengan menerima undangan untuk membuat persembahan.

Antara lagu P. Ramlee yang diminati Fairuz adalah Getaran Jiwa.

Antara lagu-lagu P. Ramlee yang diminatinya adalah Getaran Jiwa dan lagu tersebut juga yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya.

Menyifatkan P. Ramlee sebagai seorang tokoh yang hebat sepanjang zaman, Fairuz yang bekerja sendiri menambah, suara dan lagu-lagu seniman itu cukup unik untuk diperdengarkan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda.

“Bila saya membuat gaya seperti P. Ramlee terutama dengan memuat video nyanyian di laman sosial, sekurang-kurangnya ia dapat menarik perhatian anak muda yang kebanyakan menggemari lagu-lagu urban dan pop, untuk mendengar lagu-lagu beliau.

“Siapa lah saya untuk menggantikan P. Ramlee. Jujurnya, saya tidak layak kerana beliau seorang cukup hebat dan tiada gantinya. Namun berdasarkan bakat dan kemampuan yang dianugerahkan Allah SWT, saya hanya membantu supaya orang ramai terus meminati setiap karya seni P. Ramlee,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Fairuz Misran, P. Ramlee

Artikel Lain