suria

#10yearschallenge: Dulu kahwin 'olok-olok' lepas jamuan PMR, kini semuanya jadi kenyataan

Selepas 10 tahun gambar kahwin 'olok-olok' ini dirakamkan, Lokman dan Alyn Fazira akhirnya sah menjadi suami isteri pada Jumaat lalu.

SIAPA sangka majlis kahwin 'olok-olok' yang diadakan semasa jamuan akhir tahun sekolah, 10 tahun lalu akhirnya bertukar realiti.

Pasangan merpati dua sejoli yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor ini disatukan dengan ikatan sah pada Jumaat lalu selepas bercinta sejak tingkatan dua.

Lokman Mansor dan isterinya, Alyn Fazira Adzelan diusik oleh rakan-rakan untuk berkahwin 'olok-olok' pada jamuan sempena berakhirnya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)yang diduduki mereka pada 2009.

"Sekarang kan tengah trending perbandingan gambar lama-lama, ini kiranya #10yearschallenge kami. Gambar itu diambil masa kami tingkatan tiga, selepas jamuan habis PMR.

"Semua paksa kami bersanding sekadar suka-suka. Kelakar bila diingat kembali. Alhamdulillah sekarang kami menjadi pasangan suami isteri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Lokman dan isterinya merupakan rakan sekelas sejak darjah satu.

Gambar pengantin baharu itu dimuat naik oleh rakan mereka di Twitter pada Jumaat dan mendapat lebih 14,000 tanda suka.

Selain dibanjiri ucapan tahniah, pelayar Twitter turut berseloroh bahawa mereka menyesal tidak kahwin 'olok-olok' ketika bersekolah seperti pasangan tersebut.

Menariknya, kedua-dua mereka yang berusia 25 tahun itu tidak pernah 'berpisah' ketika di bangku sekolah.

"Sejak dari darjah satu lagi kami sekelas, sampailah ke tingkatan lima.

"Cuma, kami terpaksa bercinta jarak jauh selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana Alyn sambung belajar di matrikulasi Perlis dan saya pula di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak," katanya.

Kedua-dua pasangan berasal dari Tanjung Karang, Selangor.

Kedua-duanya pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu 9 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun di Tanjung Karang.

Lokman yang kini bekerja sebagai pemeriksa kawalan mutu di Shah Alam turut berkongsi kenangan percintaannya ketika zaman persekolahan.

"Dulu, masa sekolah pernah kantoi tulis surat cinta dan tertinggal pula dalam buku latihan.

"Bila cikgu jumpa surat tu, saya diperli oleh guru-guru kerana sudah pandai tulis surat cinta ketika masih bersekolah," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kahwin olok-olok

Artikel Lain