suria

Anggap kerjaya lama berisiko tinggi, graduan kejuruteraan kejar impian bergelar zookeeper, mahu jaga singa

Demi cita-cita, Abdullah Aiman meninggalkan bidang kejuruteraan elektronik demi menjadi seorang penjaga zoo. - Twitter @aimanzackz_

SIAPA sangka lakonan lucu aktor Hollywood, Jim Carrey menerusi filem yang diterbitkan 25 tahun lalu memberi inspirasi kepada seorang pemuda untuk mengejar cita-citanya bergelar 'zookeeper'.

Penuntut lulusan diploma kejuruteraan elektronik, Abdullah Aiman Abdul Razak, 22, memilih kerjaya di zoo kerana cintanya yang mendalam terhadap haiwan selepas menonton filem Ace Ventura: Pet Detective ketika zaman kanak-kanaknya.

Pemuda berusia 22 tahun yang menetap di Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu meninggalkan pekerjaannya dalam bidang kejuruteraan elektronik kerana berasa ia berisiko tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dipandang rendah kerana sarung uniform 'pak guard', kini pemuda ini sudah bergelar penganalisis IT

"Saya sudah cuba kerja 'wiring', tapi tertekan kerana tak kena dengan jiwa.

"Rasa seperti aliran elektrik itu tak memahami jiwa manusia dan tidak boleh silap... kalau silap nanti melayang nyawa," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Salah satu babak dimainkan oleh Jim Carrey dalam filem tersebut.

Tambah Abdullah Aiman, menjaga haiwan di zoo adalah jauh lebih mudah kerana semuanya sudah diaturkan mengikut jadual.

Katanya, haiwan juga seakan-akan memahami dan boleh berinteraksi dengan manusia.

"Saya memang minat bela haiwan sejak kecil. Antara haiwan peliharaan yang saya pernah ada seperti ayam, burung, ikan, arnab dan kucing.

"Pada mulanya agak sukar untuk meyakinkan ibu bapa dengan pilihan saya ini, namun lama-kelamaan mereka menyokong kerjaya saya sekarang," jelas Abdullah Aiman.

Kisah anak sulung daripada empat beradik itu menerima reaksi positif dalam kalangan netizen yang kagum dengan kesungguhannya dalam mengejar cita-cita dan minat.

Posting yang dimuat naik oleh Abdullah Aiman di Twitter pada Sabtu itu meraih lebih 4,000 ulang kicau dan 6,000 tanda suka.

Abdullah Aiman.

Menurutnya, pekerjaan itu juga membuatkan dia lupa seketika dengan tekanan dan rasa penat kerana ia didorong oleh minat yang mendalam terhadap haiwan.

Selepas dua bulan berkhidmat di Taman Burung Pulau Pinang, burung kakak tua Macaw adalah haiwan yang paling istimewa di matanya.

Burung tersebut yang terkenal dengan sifatnya yang sukar mesra dengan orang baharu, namun hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk rapat dengan pemuda tersebut.

Rutin Abdullah Aiman yang bertugas dari Sabtu hingga Khamis adalah memberi makanan kepada lebih 300 spesies burung di taman tersebut seawal pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

Kini pemuda ini menanam impian untuk menjaga singa pada satu hari nanti kerana raja segala haiwan itu disifatkan binatang setia dan boleh mengenali manusia yang rapat dengannya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain