SIAPALAH yang tidak mahu berbelanja mewah jika memang mampu untuk memiliki apa sahaja yang diidamkan.
Lebih-lebih lagi jika barangan berjenama itu diperoleh hasil titik peluh sendiri.
Namun, tidak semua orang dapat melihat seseorang mempamerkan kemewahan di media sosial dengan hati terbuka.
Seorang blogger popular yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Epal teruk dikecam selepas memuat naik Instastories membeli beg tangan jenama mewah secara tunai ke media sosial.
Video Instastories blogger berusia 28 tahun itu dimuat naik semula oleh pengguna media sosial ke laman Twitter sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Segelintir netizen mendakwa tindakan itu sebagai menunjuk-nunjuk dan 'corny' (dangkal), namun tidak kurang juga yang menyebelahi perbuatannya kerana menganggap blogger itu memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengecapi kejayaan.
Seorang pelayar Twitter menulis: "Ya Tuhan, jika satu hari nanti saya jadi kaya-raya, tolong lindungi saya daripada menjadi corny seperti ini."
Bagaimanapun, blogger yang juga seorang personaliti media sosial yang mempunyai 254,000 pengikut di Instagram itu berkata, dia terkejut selepas mengetahui perkara itu.
"Agak terkejut jugalah sebab selama ini saya memang selalu kongsi apa saya buat.
"Saya memang selalu share aktiviti kehidupan harian saya di Instastories, tapi tak sangka ada yang rekod dan sebarkan di platform lain. Ini kali pertama ia berlaku.
"Terpulang kepada individu yang melihat. Kalau pandang positif akan anggap saya kongsi info, kalau pandang negatif, akan jadi negatif," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Menerusi video Instastories tersebut, Cik Epal turut berkongsi harga beg tangan itu yang bernilai antara RM12,000 dan RM14,000 sebuah.
Cik Epal turut memuat naik semula video Instastories tersebut selepas ia tular.
Menurut ibu kepada seorang putera itu, tindakannya memberitahu harga tas tangan mewah itu bagi memenuhi permintaan pengikutnya di Instagram.
"Bila saya shopping, pengikut saya terlampau ramai nak tahu harga beg tangan yang saya beli tu.
"Ada yang nak 'window shopping', ada yang memang dah lama berhasrat membeli sesetengah barang, ada juga yang memang suka saya kongsi pengalaman bila masuk butik mewah.
"Daripada saya kena balas satu-satu DM (pesanan terus), jadi saya letak harga siap-siap dan tak perlu saya balas pertanyaan setiap orang," jelasnya yang memang gemar mengumpul pelbagai beg tangan berjenama.
Cik Epal mula menulis blog sejak 2008 iaitu ketika dia berusia 17 tahun.
Wanita itu sering berkongsi tentang perkara yang disukainya seperti makanan, keluarga, percutian dan keibubapaan.