suria

Tweet gurauan bikin panas, pengusaha cuci kereta terpaksa nyahaktif FB akibat dikecam

Gambar yang dimuatnaik Pear di Twitternya mengundang kecaman netizen.

TIDAK semua usikan kita boleh diterima masyarakat, mungkin ada yang selesa dan mungkin juga tidak.

Itulah yang berlaku kepada seorang pengusaha perkhidmatan cuci kereta gara-gara postingnya mengenai keadaan kereta milik sebuah parti politik di pantai Timur yang dimuatnaiknya di Twitter dengan kapsyen 'Patutlah kereta orang PAS' telah mengundang kecaman netizen.

Rata-rata netizen mempersoalkan tindakannya yang didakwa sengaja mahu mengaibkan pelanggannya, selain tidak bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah.

Seorang pengguna Twitter Aniyah Zahidah berkata:"Rezeki depan mata pun pertikai. Kurang adab dengan rezeki. Bayangkan kalau kereta ni milik orang luar negara, orang suku kaum la ka.. ada dak nak cakap camni. Huhu kesian mentaliti toksik."


Posting asal Pear menjadi tular di Twitter dan sudah dipadamkan.

Gambar yang dimuat naik pengguna akaun @Pearkuku menunjukkan keadaan kusyen tempat duduk yang agak kotor selain pin lencana parti politik tersebut.

Pemuda tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Pear akhirnya tampil menjelaskan perkara tersebut.

Pear ketika dihubungi mStar Online memberitahu posting berkenaan hanyalah gurauan semata-mata.

"Saya tiada niat lain cuma sekadar ingin bergurau. Saya memang jenis suka bergurau tapi tak sangka lain pula jadinya.

"Ada yang kata posting itu untuk marketing stunt tapi sebenarnya tak. Ia hanya gurauan semata-mata," katanya.

Posting asal Pear dikecam netizen.

Pada masa sama, Pear turut memohon maaf terutamanya kepada penyokong parti politik berkenaan yang terguris hati dengan posting tersebut.

"Saya mohon maaf kepada penyokong PAS dan sesiapa sahaja yang terguris hati disebabkan tweet saya itu.

"Tweet tu tak ada kena mengena dengan sesiapa pun. Saya bukanlah penyokong Pakatan Harapan seperti dilabelkan netizen dan saya juga tak sokong mana-mana parti," katanya.

Posting Pear turut menimbulkan rasa kurang senang penyokong PAS sehingga ada yang bertindak mencari identitinya di Facebook.

"Mereka ambil gambar saya di Facebook dan sebar di Twitter. Nombor telefon saya pun turut didedahkan.

"Jadi saya terpaksa menyahaktif akaun Facebook saya. Saya tak nak keluarga saya pun terpalit. Cukuplah saya seorang sahaja yang kena," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
cuci kereta, PAS

Artikel Lain