KECOH di media sosial apabila aksesori pelekat kenderaan berbentuk tapak kaki yang dijual di sebuah kedai perkakasan dan peralatan terkenal di negara ini didakwa mempunyai cetakan kalimah Allah dan Muhammad. Video yang dimuat naik pengguna Twitter @Mskylexer berhubung aksesori tersebut sejak Rabu malam menjadi tular dan mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution. Perkongsian itu turut diulang kicau sebanyak 6,510 kali dan mendapat kira-kira 2,221 tanda suka. Terdapat netizen yang membuat pautan pada Twitter Adibah Noor yang juga duta MR D.I.Y di negara ini. Adibah Noor dalam reaksi balasnya turut memaklumkan bahawa tindakan yang sewajarnya sudah dilakukan. "Saya sudah maklumkan pada pihak DIY semalam. Tindakan sedang diambil. Terima kasih," katanya. Video berdurasi 22 saat perkongsian MSkylexer menjadi tular di Twitter. Susulan itu, MR D.I.Y dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka mengeluarkan arahan menarik balik produk pelekat kenderaan itu dari semua cawangannya berkuat kuasa serta merta. "MR D.I.Y ingin menarik balik serta merta pelekat kereta (produk) serta merta kerana ia mengandungi karakter atau perkataan yang mungkin menyinggung pelanggan Muslim kami," katanya. Pada masa sama, MR D.I.Y turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku. "MR DIY memandang serius perkara ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami di atas maklum balas mereka. Video yang tular turut mendapat perhatian Saifuddin Nasution. "Kami tidak mempunyai sebarang niat untuk menyinggung mana-mana agama atau budaya dan amat kesal dengan insiden ini," katanya. Menurut MR D.I.Y, pelanggang yang telah membeli produk tersebut boleh mendapatkan semula bayaran balik penuh. "Bukti pembelian diperlukan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi pasukan khidmat pelanggan kami di talian 03-8961 1338," katanya. Sesiapa yg ada masuk kedai D.I.Y, tolong cari brg ini & suruh tuan kedai tarik balik brg ini... pic.twitter.com/LJDchQM5Qq — m.faizmin (@MSkylexer) February 6, 2019