TAMAN rekreasi di sebuah tasik menjadi lokasi sepasang kekasih menghabiskan masa bersama, namun ada insiden yang menyebabkan netizen bengang tapi ia tiada kaitan hubungan mereka. Segalanya bermula apabila sekeping gambar didakwa dimuat naik wanita yang bersama teman lelakinya itu di laman sosial. Bukan gambar mereka bermadu asmara yang dikecam, tetapi keterangan pada gambar dianggap biadab apabila memandang rendah terhadap seorang tukang sapu dipercayai pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dirakamkan dari jarak jauh. “Cerita hari ni, tengah date ngan BF (teman lelaki) kat pondok tepi tasik, tiba-tiba datang mamat 'seekor' ni duduk pula kat pondok ni sekali. “Tukang sapu kot, selekeh je rupa uwekk!! Masa dia lalu depan kita orang, hapak! Dasar tukang sapu sengkek! Keje pun hina,” katanya sambil menambah bahawa tukang sapu tersebut berbau busuk. “Nasib la BF I ni handsome (kacak), kerja pun berpangkat. Kalau I memang tak lah nak cari laki kerja tukang sapu macam ni, balik je kerja nanti busuk satu rumah,” katanya pada keterangan gambar di halaman Facebook MPKBBRI Bersih Dan Ceria tanpa dimaklumkan lokasi dan waktu gambar tersebut dirakamkan. Keluhan seorang wanita yang dikongsikan di halaman Facebook Viral Muafakat Johor yang membangkitkan kemarahan netizen. Susulan posting tersebut tular pada Rabu selepas dikongsi di halaman Facebook Viral Muafakat Johor, netizen mengecam tindakan wanita yang tidak didedahkan namanya kerana menghina pekerjaan seorang tukang sapu. Ada yang menyifatkan kebiadabannya lebih menjijikkan kerana kotor pada akalnya, sedangkan pekerja tersebut mencari sumber rezeki yang halal. “Mulut... mamat tu kotor sebab bekerja, tapi rezekinya suci halal, hatinya suci bersih sebab cari rezeki halal untuk keluarga. Semoga Allah SWT membalas mulut yang tak ada insurans ni,” kata Macan Setunggel. “Jangan hina orang, orang yang menghina lebih teruk lagi. Badan bau macam mana pun orang tu, dia cari rezeki halal,” kata Nassir Arafat. Antara komen netizen mengenai kenyataan biadab wanita berkenaan. Malah, ada yang menegur mengenai dirinya yang masih belum berkahwin tetapi dengan angkuhnya bercerita mengenai rezeki dan jodoh. “BF je belum tentu jadi suami. Jangan yakin sangat. Allah SWT sekali nak detik hati kau suka orang tu, tak ambil masa lama. Masa tu jadi lah kau pengemis cinta orang yang kau hina tu dik,” kata Nur Ema Saion. “Subhanallah. Hitamnya hati mu dik. Jangan bongkak. Bila-bila je Allah SWT boleh tarik rezeki yang kau ada,” kata Rohaya Ismail. “Tak baik menghina orang macam gitu sekali. Mana tahu satu hari nanti dia jadi orang kaya,” kata Ainon Rahmat. Komen mengenai wanita itu dating di pondok tepi tasik menjadi perhatian netizen. Selain itu, turut menarik perhatian adalah mengenai reaksi netizen terhadap kenyataan wanita tersebut yang begitu bangga mempunyai teman lelaki yang berpangkat. “BF berpangkat katanya. Tak kan mampu dating di pondok tepi tasik je kot,” kata Sarina Sabar. “Kenapa date kat pondok tepi? Date lah kat Pavi (Pavilion), membeli-belah. Kata berpangkat,” kata Aina Nuraina.