suria

Besarnya hikmah jaga aurat, Allah tutup aib ustazah Shadiya dengan sehelai tuala kecil

PERKONGSIAN seorang pendakwah wanita, Shadiya Abbas yang mengimbas detik malang sewaktu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya ternyata menarik perhatian ramai.

Posting berjudul 'Tuhan, Tolong Tutup Auratku' yang dimuat naik pada Khamis menerima lebih 6,000 tanda suka (likes) dan dikongsi hampir 3,000 kali di Facebook.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, Shadiya, 39, berkata, kemalangan itu yang berlaku di Ipoh, Perak pada 11 April 2018 itu melibatkan dirinya, suami dan dua anaknya.

Dalam kemalangan itu, kereta yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Keadaan kereta yang dinaiki Shadiya sekeluarga yang remuk teruk akibat kemalangan itu.

"Saya dan suami mengalami kecederaan yang agak teruk. Saya banyak kecederaan luaran terutamanya di wajah. Suami pula mengalami kecederaan tulang rusuk. Mujurlah anak-anak tidak cedera.

"Sewaktu menerima rawatan di hospital, jubah dan tudung saya penuh darah jadi ia perlu ditukar, sebenarnya itu kuasa Allah. Kalau ikut logik akal, memang kita tak dapat nak fikir pasal aurat dah masa tu.

"Tapi saya dengar suara beberapa petugas lelaki. Jadi saya merayu kepada Allah dalam hati supaya membantu saya, memelihara aurat saya.

Selain aurat sendiri, kita juga kena pastikan aurat orang sekeliling kita terjaga. Tanggungjawab kepada semua untuk pastikan aurat dijaga.

SHADIYA ABBAS

Pendakwah

"Tak lama selepas itu, ada seorang jururawat bagi tuala untuk tutup kepala. Syukur sangat, apabila kita jaga perintah Allah, jadi Allah pun bersama kita masa darurat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat berkongsi kisah itu.

Menurut Shadiya, dia turut menerima 100 jahitan di muka dan terpaksa menjalani pembedahan plastik akibat kejadian itu bagi memulihkan wajahnya yang cedera.

Bersyukur apabila keadaan kesihatannya semakin pulih, Shadiya bagaimanapun masih berulang alik ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan susulan.

Malah, dia juga sempat berehat selama dua bulan selepas kejadian itu sebelum kembali aktif menerima jemputan ceramah, menjelang Ramadan tahun lalu.

Mengimbas semula tragedi itu, ia berlaku sewaktu dia dalam perjalanan dari Puncak Alam, Selangor menuju ke Kuala Nerang, Kedah, untuk menjemput ibu mertuanya.

Tambahnya lagi, mereka sepatutnya mengerjakan umrah pada bulan sama, tetapi terpaksa ditunda kepada November akibat kejadian itu.

Menyifatkan kemalangan itu sebagai satu hikmah, Shadiya juga sempat mengumpul wang tambahan sebelum turut membawa ibunya menunaikan umrah bersama mertuanya.

Shadiya bersama suaminya yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan tahun lalu.

Dalam pada itu, dia turut menasihati semua lelaki dan perempuan agar sentiasa menjaga aurat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.

"Selain aurat sendiri, kita juga kena pastikan aurat orang sekeliling kita terjaga. Tanggungjawab kepada semua untuk pastikan aurat dijaga.

"Pakaian itu sebaiknya biarlah boleh dibawa bersolat. Maksudnya, kalau terjadi sesuatu dalam apa jua keadaan sekali pun, tak ada telekung, kita boleh bersolat dengan pakaian kita," katanya lagi.

Di ruangan komen posting tersebut, segelintir pelayar Facebook turut mengaitkan isu aurat Shadiya dengan pelakon, Emma Maembong yang baru-baru ini membuat keputusan untuk kembali tidak bertudung.

Mengulas hal itu, Shadiya menggesa agar orang ramai tidak memberi kecaman, sebaliknya menganggap posting berkenaan sebagai peringatan bersama.

"Bukan Emma sahaja, pelakon Uqasha Senrose (juga kembali tidak bertudung tahun lalu) dan orang lain agar mengembalikan hak kita sebagai hamba kepada Allah.

"Maksudnya, kita sebagai hamba, perlu mengikut perintah Allah yang menciptakan kita.

"Ini peringatan untuk semua, sebab kita nak sama-sama masuk syurga di akhirat kelak," katanya lagi.

Selain itu ramai netizen membanjiri ruangan komen posting tersebut dan turut mendoakan Shadiya cepat sembuh.

Posting gambar  Shadiya di Instagram.

"Allahuakhbar sebaknya. Di dalam kesakitan dan darurat masih menjaga auratnya," tulis Noma Azry Fazilah.

"Bila kita sihat kita jaga aurat kita, InsyaAllah bila kita sakit, kita tak berdaya, Allah yang akan pelihara aurat kita," tulis Suriyati Khalil.

"Semoga Allah melindungimu dan semoga cepat sembuh, amin," tulis Shi Ma.

"Inilah juga yang kita minta selalu. Moga Allah tutup aurat kita masa kita tak sedar," tulis Chek Maznah Khalid pula.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain