HAJAT seorang isteri untuk menyambut ulang tahun kelahirannya di tepi pantai sambil makan malam dengan diterangi cahaya lilin menjadi kenyataan, biarpun perlu berdepan 'drama' suami tercinta. Syed Mohd Faiz Syed Nasir, 27, pada awalnya sengaja buat tidak peduli dengan permintaan isterinya itu kerana tidak gemar memberi harapan. "Suprise for my wife birthday (Kejutan untuk hari jadi isteri saya). Siapa cakap lepas ada anak dan kahwin tak boleh bersemut (romantik)," tulisnya pada sebuah posting yang dimuat naik di Twitter @faeznasirr pada Rabu. Posting itu meraih perhatian netizen sehingga mendapat lebih 1,300 ulang kicau dan 1,700 tanda suka. Jelas usahawan itu, dia sengaja tidak mengucapkan selamat hari lahir kepada isterinya, Noor Akma Syafira Abdul Razak, 25, kerana merancang untuk melakukan kejutan yang lebih istimewa. Syed Mohd Faiz menghubungi perancang majlis hanya sehari sebelum sambutan ini diadakan. "Ketika keluar sarapan pagi tu, saya suruh dia potong sahaja murtabak yang saya pesan kerana dia sudah 'tua' dan tak perlulah potong-potong kek ni. "Memang nampak mood dia berubah kerana saya seolah-olah tidak mahu meraikan hari jadinya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Mereka sekeluarga ketika itu berada di kampung isterinya di Segamat, Johor untuk bercuti panjang. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Syed Mohd Faiz memberikan helah kepada isterinya untuk singgah menghantar barang kepada ejen mereka di Port Dickson. "Sebenarnya, saya dah minta perancang majlis untuk hias meja candle-light dinner di tepi pantai sebagai tanda menghargai segala pengorbanan isteri melahirkan zuriat kami. "Tapi, nak dijadikan cerita, suhu kereta saya naik dan terpaksa dihantar ke bengkel. Aduhai, lari sedikit lah timing untuk buat kejutan tu. Selepas murtabak, akhirnya Noor Akma Syafira dapat memotong kek hari jadi. "Nak nampak lebih menjadi, saya berlakon konon-konon marah ejen kerana terpaksa hantar barang jauh. Isteri memang senyap je di dalam kereta," ujarnya yang turut menghadiahkan telefon pintar iPhone XS Max buat isteri tercinta. Kejutan yang dirancang akhirnya berjaya kerana isterinya langsung tidak menyangka bahawa Syed Mohd Faiz benar-benar menjadikan impiannya satu kenyataan. Bagi pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu, isterinya layak diraikan dalam majlis makan malam romantis kerana sentiasa berada di sampingnya ketika susah dan senang. Pasangan tersebut yang berkenalan melalui aplikasi WeChat menjalinkan hubungan selama lima tahun sebelum mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.