KEDUA-duanya tidak mengenali antara satu sama lain tetapi mereka disatukan sebagai suami isteri selepas perkenalan singkat di media sosial tahun lalu. Perkongsian kisah percintaan Nurul dan suaminya yang dimuat naik di Twitter menjadi tular dengan diulang kicau (retweet) sebanyak 5,644 kali dan mendapat 8,567 tanda suka (like). Rata-rata netizen mendoakan kebahagiaan pasangan ini manakala pelayar Twitter yang masih 'single' berharap agar dipertemukan jodoh seperti mereka Nurulhanani Kamaruzzaman ketika dihubungi mStar Online memberitahu suaminya, Muhammad Khairi Kamil Juhaizat memulakan langkah awal untuk mendekati dirinya dengan mengikuti akaun Twitternya. "Saya dan suami follow akaun Anep @brgsjks (Tweetfamous). Saya ni jenis suka sangat reply tweet Anep walaupun merepek. Suami saya pula jenis suka tengok replies. Jadinya dia jumpa akaun saya dekat situ, dia pun follow saya. "Lama juga dia follow saya dalam dua tiga bulan macam tu, barulah dia berani tegur saya melalui DM (direct message). Dua minggu lepas kenal melalui DM dan WhatsApp, barulah kami berjumpa untuk kali pertama pada Mac tahun lalu," katanya. Posting Nurulhanani tular di Twitter. Namun Nurulhanani tidak menyangka lelaki itu berani meluahkan hasrat untuk mengikutnya pulang ke kampung di Sitiawan, Perak untuk bertemu kedua ibu bapanya sejurus selepas pertemuan pertama mereka. "Saya terkejut sebab kami baru je kenal. Tiba-tiba dia cakap nak hantar saya balik dan jumpa keluarga saya. Pada awalnya saya rasa was-was nak bawa dia jumpa keluarga. Yalah jodoh kita tak tahu sebab tu takut. "Mana tau dah jumpa keluarga, tiba-tiba tak jadi nanti malu. Tapi saya fikir positif dan doa yang baik-baik. Jadi 31 Mac dia hantar saya balik kampung, kebetulan waktu tu saya cuti panjang," katanya. Jelas gadis berusia 23 tahun itu, pada malam pertama bercuti di kampung, dia sekali lagi dikejutkan dengan mesej lelaki itu yang memberitahu mahu datang merisiknya pula. "Malam tu, dia WhatsApp saya dan kata dia nak meminang saya. Dia suruh saya berbincang dengan ayah saya mengenai hantaran. Ayah beritahu hantaran berapa yang dia mampu sahaja, tak apa. Lepas dengar macam tu, dia pun setuju. "Pada Jun 2018, dia beritahu kedua ibu bapa saya dan keluarganya dia mahu masuk meminang saya. Jadi kami pun bertunang pada 15 September 2018. Atas persetujuan kedua-dua pihak juga, kami bernikah pada 30 november 2018 dan 1 Disember 2018 (resepsi)," katanya. Pada masa sama, Nurulhanani tidak menganggap perkenalan di media sosial sebagai sesuatu yang negatif. "Saya betul-betul tak sangka bertemu jodoh dengan suami di Twitter dan kami disatukan hingga ke jenjang pelamin. Sebenarnya saya agak fobia sebab ada pengalaman putus tunang sebelum ini. Nurulhanani dan suaminya disatukan sebagai suami isteri pada 30 November lalu. Foto ihsan Nurulhanani. "Kesimpulannya, kalau dah jodoh, tak kemana, dan kalau dah jodoh, Allah akan temukan pada masa yang tepat. Tak semua jodoh di media sosial ni tak baik, ada je yang baik-baik. Apa pun kenal betul-betul pasangan kita dan paling penting doa yang baik-baik," katanya. Ditanya mengapa dia terbuka hati untuk menerima lamaran tersebut, Nurulhanani berkata dia tertarik dengan sikap dan keperibadian suaminya. "Dia ambil berat pasal saya, jaga saya. Dia juga banyak beri nasihat kepada saya untuk menjadi seorang yang positif. Suami saya tidak suka berpura-pura. Dia jadi diri dia sendiri. Baik buruk dia semua dia tunjuk. "Dia hormat privasi saya dan hormat saya sebagai pasangan dia. Cara dia bercakap, cara dia berkomunikasi dengan saya. Setiap kali bila ada masalah, dia akan berbincang dengan cara baik dan tak beremosi. "Paling penting, sebelum dia jadi suami saya dulu, setiap kali keluar dating, kalau dah masuk waktu, tempat pertama dia akan cari ialah surau atau masjid. Suruh solat dulu. Orang kata kalau nak cari suami yang baik, kita tengok dia jaga solat ke tak, betul tak?," katanya mengakhiri perbualan.