suria

“Biarlah, bukan pakai duit orang lain pun”- Tauke kedai emas tak tolak RM5 'duit cincin sayang', syiling pun terima!

Seikat wang kertas RM5 digunakan untuk membeli sebentuk cincin bagi merisik kekasih.

CINTA agung pastinya membawa ke gerbang perkahwinan dan cincin dilihat sebagai ‘wajib’ ada dalam masyarakat Melayu sebelum pengantin dapat melangkah ke jenjang pelamin.

Namun menerusi satu perkongsian di laman sosial, bukan cincin menjadi bualan, sebaliknya wang yang digunakan untuk membeli barangan kemas itu yang meraih perhatian.

“Kesungguhan jejaka menyunting si bunga... duit lima ringgit bersusun rapi menjadi saksi. Semoga berbahagia ke anak cucu dik, Amin,” kata Suhaimi Ismail dalam satu posting di halaman Facebooknya yang tular sejak Jumaat.

Perkongsian yang tular mengenai pelanggan menggunakan sejumlah wang kertas RM5 untuk membeli cincin.

Turut dimuat naik adalah gambar seikat wang kertas RM5 berjumlah RM500 dan terdapat nota yang disertakan: “RM500, duit cincin sayang.”

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi, ada yang memuji kesungguhan pembelinya demi cinta buat kekasih, tidak kurang juga yang mengecamnya kerana dianggap sengaja mencari publisiti murahan dengan menunjukkan kesusahannya untuk membeli cincin.

Suhaimi yang berusia 38 tahun tampil menjelaskan bahawa wang kertas RM5 yang disusun rapi itu diterimanya daripada seorang pelanggan yang datang membeli cincin di kedai emas milik keluarganya di Putrajaya, Selasa lalu.

Suhaimi menguruskan kedai emas perniagaan keluarga di Putrajaya.

Dia yang juga pengurus di kedai emas itu memberitahu, kunjungan anak muda itu ke kedainya hanya ditemani rakan tanpa pengetahuan kekasihnya.

“Anak muda ni datang nak beli cincin untuk merisik teman wanitanya. Perkara tersebut adalah rahsia dan duit yang dibawanya adalah duit lebihan belanja.

“Setiap lebihan wang kertas RM5 dia akan simpan dalam tabung. Bila dah dikumpul banyak barulah dia bawa semua untuk beli cincin,” katanya kepada mStar Online, sambil menambah bahawa cincin merisik itu dibeli pelanggan tersebut pada harga hampir RM500.

Seikat wang kertas RM5 digunakan untuk membeli barang kemas. Foto Suhaimi Ismail

Bagaimanapun, membeli barangan kemas menggunakan wang kecil bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi Suhami yang mengusahakan kedai emas sejak empat tahun lalu.

“Bagi saya sendiri, sudah lima pelanggan berlainan yang bawa sejumlah wang kecil hasil simpanan mereka. Ada yang bawa wang kertas RM1, malah syiling pun ada.

“Ada yang bawa wang kertas RM1 sampai jumlahnya RM2,000, dan ada yang bawa kira-kira RM3,000 guna wang kertas RM1, RM5 dan RM10,” tambahnya.

Kalau nak kahwin, buat apa sampai berhutang, pinjam duit orang semata-mata nak beli cincin. Nanti hanya menjejaskan komitmen lepas kahwin.

Suhaimi Ismail

Pengurus kedai emas

Bukan setakat wang kertas, duit syiling turut digunakan pelanggan di kedai emasnya.

Malah, Suhaimi yang berasal dari Kuala Kurau, Perak itu turut berkongsi mengenai salah seorang pelanggan setianya yang merupakan warga Indonesia berusia 50an.

Kegigihan wanita itu menyimpan bukan sahaja wajar dijadikan contoh, tetapi apa yang lebih menakjubkan wang simpanannya adalah hasil penjualan kotak-kotak dan tin-tin untuk dikitar semula.

“Dia merupakan pekerja pembersihan dan kerjanya mengutip sampah dengan kebanyakannya adalah barang-barang yang dikitar semula. Hasil jualan itu disimpan dan dibelinya emas,” katanya yang cukup terharu dengan kegigihan wanita tersebut.

Pelanggan ini membawa campuran wang kertas dan duit syiling hasil simpanannya.

Sama ada untuk tujuan perkahwinan atau diri sendiri, Suhaimi berpandangan bahawa menyimpan secara kecil-kecilan untuk membeli emas adalah satu tindakan yang bijak.

“Contoh kalau nak kahwin, buat apa sampai berhutang, pinjam duit orang semata-mata nak beli cincin. Nanti hanya menjejaskan komitmen lepas kahwin.

“Duit dia biarlah dia nak beli apa, bukan pakai duit orang lain pun. Guna kad kredit atau kumpul dan beli secara tunai itu terpulang pada masing-masing,” ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
emas, Suhaimi Ismail

Artikel Lain