suria

Tulang ikan bukan makanan kucing! Alasan “dah biasa makan” boleh bawa maut

Foto instagram leonvets/facebook viral media johor

TULANG ikan, bukan makanan kucing! Isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan netizen sejak perkongsian mengenai kucing tercekik tulang ikan tular di media sosial.

Selalu orang beri tulang ikan kepada kucing dengan alasan, "Ah, kucing biasa makan tulang ikan". Biasa? Mereka bukannya biasa makan tulang ikan, tetapi mereka tiada pilihan. 

"Sebab itu kucing mati perlahan-lahan. Mati akibat tersedak tulang ikan. Kasihanlah dengan makhluk ini, jangan beri tulang ikan lagi," menurut satu perkongsian di Facebook.

Perkongsian mengenai isu tulang ikan dijadikan makanan kucing.

Seorang doktor veterinar mendedahkan beberapa kes diterima disebabkan tulang ikan yang dimakan kucing tersangkut di bahagian gigi, gusi, lelangit dan tekak haiwan itu.

Walaupun ia sekadar kes terpencil kira-kira 20 kes yang diterimanya setakat ini, tetapi Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali menjelaskan memakan tulang amat berisiko.

"Apa yang mengejutkan adalah kucing-kucing ini ada pemilik yang masih memberi tulang ikan sebagai makanan kepada kucing peliharaan mereka.

"Mereka mengaku beri ikan seekor untuk kucing makan. Tapi isi dan tulangnya tak diasingkan, jadi ada kebarangkalian kucing tercekik tulang," katanya kepada mStar Online.

Gambar sekadar hiasan.

Dr Salehatul yang berpengalaman dalam bidang veterinar selama 10 tahun memberitahu alasan yang diberikan pemilik kucing adalah haiwan peliharaan mereka sebelum ini “dah biasa makan” dan tidak pernah tercekik apabila memakannya.

Menurutnya, tercekik tulang ikan amat berisiko terutama ia boleh menyebabkan berlaku kebocoran pada usus, terkena jangkitan atau mengalami masalah pernafasan.

"Kalau tersangkut dalam mulut tu masih boleh keluarkan, tapi boleh membawa maut sekiranya berlaku kebocoran pada usus, terutama apabila tulang yang tersangkut tu dalam kedudukan melintang.

"Tapi, kucing masih boleh diselamatkan sekiranya keadaan tidak terlalu teruk dan segera diberikan rawatan menerusi pembedahan," katanya yang mengusahakan klinik veterinar di Kota Kemuning, Shah Alam sejak lima tahun lalu.

Tulang ikan mempunyai sumber kalsium untuk kucing tetapi memandangkan ia berisiko, haiwan tersebut perlu diberikan sumber alternatif.

Profesor Madya Dr Chen Hui Cheng

Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, Fakulti Perubatan Veterinar UPM

Dr Salehatul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, Fakulti Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Chen Hui Cheng pula menasihatkan orang ramai terutama pemilik kucing agar mengambil serius terhadap pemakanan kucing yang lebih berkhasiat dan seimbang, termasuk pengurusannya.

Beliau berkata, isi dan tulang perlu diasingkan meskipun terdapat kucing yang dikatakan dapat mengasingkannya sendiri kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Mengenai kaedah merebus dikatakan melembutkan tulang ikan, Dr Hui Cheng menjelaskan bahawa ia masih memberi risiko kepada kucing.

Beliau yang berpengalaman di UPM selama lebih 20 tahun memberitahu, tulang ikan mempunyai sumber kalsium untuk kucing tetapi memandangkan ia berisiko, haiwan tersebut perlu diberikan sumber alternatif.

"Kalau hanya beri isi ikan saja dikhuatiri tak cukup kalsium. Tapi beri tulang ikan juga berisiko. Oleh itu, sebagai alternatif, sumber kalsium boleh didapati menerusi makanan tambahan seperti biskut kucing dan makanan kucing dalam tin yang dijual di pasaran.

"Sebagai pemilik kucing, kita bukan sekadar beri makan dan minum saja, tetapi perlu memastikan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat," ujar Dr Hui Cheng.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain