suria

Anak kekok nak peluk mak ayah resah, "Mereka dah tak ada nanti, mesti saya menyesal"

BENCI diri sendiri semata-mata kerana malu untuk memeluk dua insan tersayang, begitulah luahan seorang gadis di laman Twitter sehingga menyentuh hati netizen.

Menurut Sara Amina Amin, dia berasa kekok untuk berbuat demikian kerana tidak terbiasa melakukannya sepanjang dibesarkan.

Tidak niat menyalahkan mereka, wanita berusia 26 tahun itu berkata, dia menerima kasih sayang yang cukup, cuma ia tidak dizahirkan melalui pelukan mesra, seperti keluarga lain.

"Setiap kali nak peluk mak ayah, mesti rasa kekok dan segan sebab tak biasa buat macam tu. Ibaratnya ada halangan antara kami, biasanya saya peluk dan cium waktu raya setahun sekali sahaja.

"Saya pula seorang yang emosi, jadi ia memberi kesan kepada saya. Tengok kawan-kawan peluk mak ayah mereka, saya pun nak macam tu juga.

"Pernah saya cuba sewaktu birthday mak, terus saya menangis. Saya fikir, suatu hari nanti mereka dah tak ada, mesti saya menyesal," ujar Sara sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis.

Paparan skrin Tweet Sara di laman Twitter.

Menurut Sara, dia bersyukur dikurniakan ibu bapa yang disifatkannya cukup sempurna dan sentiasa memberi sokongan buatnya.

Namun, dia juga menanam hasrat untuk lebih kerap memeluk kedua orang tuanya, tambahan pula mereka kini sudah mencecah usia 60 tahun.

Tambahnya lagi, ibunya berbangsa Cina, manakala bapanya pula berdarah Melayu dan Sara merupakan anak bongsu daripada tiga beradik yang masih menetap bersama mereka di Ampang, Selangor.

Mengulas mengenai Tweet yang dimuat naiknya, Sara berkata dia tidak menyangka ramai netizen turut berhadapan situasi sama.

Ujarnya lagi, Tweet itu diluahkan dari lubuk hatinya, sekadar menyampaikan apa yang terbuku di hatinya menerusi laman sosial.

Menurut Sara, dia menerima kasih sayang daripada kedua ibu-bapanya, namun ia tidak dizahirkan melalui pelukan dan ciuman.

"Tak sangka akan tular. Bila baca komen dan reaksi mereka, saya boleh faham apa yang dirasai. Saya baca apa yang mereka tulis, saya pun tersentuh dan menangis.

"Saya juga berpendapat, pelukan ibu bapa dengan anak-anak itu tak seharusnya sewaktu kecil sahaja, sebaliknya perlu diteruskan hingga dewasa," katanya lagi.

Tweet Sara sehingga kini menerima lebih 13,000 ulang kicau (Retweet) dan dibanjiri dengan komen dari pelayar Twitter.

"Same here. Dengan parents takda masalah pun. Baik ja. Cuma a little awkward kalau nak peluk-peluk ka apa," tulis @ohekin.

"Its okay... I dah 20 tahun hidup baru je belajar peluk mak.. Haha.. Yang penting.. You yang kena start dulu.. Awal-awal memang awkward.. Tapi lama-lama okay," tulis @Azriyah92 pula.

Dalam pada itu, Sara juga berhasrat untuk tidak mengulangi perkara itu apabila dia berumah tangga dan memiliki cahaya mata di masa hadapan.

Katanya lagi, dia mahu anak-anaknya dibiasakan memeluk ibu bapa agar tidak rasa segan apabila dewasa kelak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Sara Amina Amin

Artikel Lain