SEORANG guru 'gatal' yang didakwa mencuri dan menyebar gambar seorang gadis di grup porno sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini sedang disiasat pihak berkuasa. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada mStar Online, pihak sekolah di mana guru tersebut mengajar telah menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan tersebut. "Kementerian memandang serius dakwaan tersebut. Pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memanggil guru terbabit untuk mendapatkan keterangan. Satu siasatan dalaman sedang dijalankan. "Pada masa sama, memandangkan guru terbabit telah membuat laporan polis, kementerian juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," demikian menurut kenyataan tersebut. Terdahulu mStar Online melaporkan, seorang gadis yang dikenali sebagai Serena Ngu Qian Xing mendakwa guru tersebut memperkenalkannya sebagai pelacur kepada ahli kumpulan sembang yang dikenali sebagai Matscandal. Paparan skrin mesej guru tersebut di laman sembang grup porno yang disertainya. Berang dengan perkara itu, Serena bertindak memuat naik paparan skrin posting guru terbabit dalam kumpulan sembang tersebut di laman Twitternya. "Saya tak fikir tweet itu akan dapat perhatian ramai sebab saya hanya mahu lepaskan geram dan marah. Tapi tak sangka tiba-tiba saya dapat DM daripada pelajar dan bekas pelajar cikgu tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah cikgu 'gatal' curi gambar, perkenal dirinya sebagai pelacur di grup porno "Mereka beritahu cikgu itu memang gatal. Ada yang mendakwa mereka pernah diajak keluar dan disentuh cikgu itu dengan sengaja. "Malah ada pelajar tingkatan dua yang baru berpindah ke sekolah itu mengadu cikgu tersebut mahu berkenalan dengannya," kata gadis yang bekerja sebagai jurusolek di Johor Bahru itu. Sementara itu, guru terbabit yang dikenali sebagai Saufi mendakwa insiden yang tular itu sebenarnya hanya salah faham. Pertama sekali, menurut guru berusia 33 tahun itu, keberadaannya di dalam kumpulan sembang pornografi aplikasi Telegram tersebut hanya untuk memantau senario yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat masa kini. "Apa yang saya lihat pelajar-pelajar saya terlalu 'advanced' dalam benda-benda macam ni. "Sebagai seorang yang bergelar guru, saya rasa terpanggil untuk memantau masalah sosial yang berlaku dalam group seperti itu. ARTIKEL BERKAITAN: Dua hari tak tidur malam, cikgu 'gatal' jawab dakwaan curi, sebar gambar gadis di grup porno "Bagaimanapun saya berasa terkilan kerana akhirnya berlaku salah faham melibatkan diri saya," katanya. Serena ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan guru terbabit mengenai dia cuba menyekatnya di Twitter. "Dia sebenarnya yang block saya di Twitter, jadi saya DM (dia) guna Instagram. Saya tegur dia 'eh masih follow saya lagi ke'? Dia hanya jawab sorry, boleh bincang? "Saya tak nak dan terus block dia," katanya. Gadis berketurunan Cina-Iban itu turut menarik nafas lega dan berterima kasih di atas keprihatinan kementerian berhubung dakwaan tersebut. "Terima kasih di atas reaksi balas pihak kementerian. Saya harap tindakan yang sewajarnya diambil agar insiden sama tidak berulang terutama membabitkan pelajar di sekolah guru tersebut," katanya.