suria

"Tak sangka dia garang macam tu" - Ibu terkejut kena marah, anak merajuk dikata 'tak cantik'

Video telatah comel Ayeesha mendapat perhatian netizen. Foto ihsan Nor Azian.

"APA? Tak cantik?" Itu reaksi spontan seorang budak yang marah gara-gara dikatakan tak cantik oleh ibunya.

Video tersebut mendapat perhatian netizen yang menyifatkan keletah si cilik itu sebagai comel.

Rata-rata netizen terhibur dengan sifat garang yang dilakukan secara spontan oleh kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu.

"Serius berulang kali acik tengok awak ni... comel nau," tulis Nurul Hidayah.

Menerusi rakaman itu Ayeesha Athirah Azura marah kepada ibunya, Nor Azian Ibrahim kerana tidak memujinya cantik selepas memakai gincu ketika mereka berada di dalam kereta.

Video tersebut dengan kapsyen "Jangan sesekali cakap dia tak cantik!" dimuat naik Nor Azian ke Facebook sehingga ditonton lebih 125,000 kali.

Nor Azian ketika dihubungi mStar Online memberitahu anak bongsunya itu memang suka dipuji.

"Ya dia memang suka pujian. Dia suka yang cantik-cantik. Biasalah budak-budak. Selalunya saya puji dia tapi masa rakam video tu saya tak puji. Itu yang dia marah sangat.

"Saya sebenarnya nak menyakat dia. Tak sangka dia buat reaksi garang macam tu. Semuanya berlaku dengan spontan, ikhlas dari hati dia agaknya. Saya sendiri pun gelak.

"Sebelum ni pun dia pernah merajuk lepas saya kata dia tak cantik. Dia punya merajuk tu boleh tahanlah. Tapi lepas bodek tu dia oklah... kena pandai pujuk," kata ibu kepada tiga anak ini.

Ayeesha gemar memakai gincu dan bersolek semasa berusia dua tahun lebih. - Foto ihsan Nor Azian.

Menurut Nor Azian, anak ketiganya itu juga amat suka memakai gincu selain suka bersolek.

"Dia memang suka pakai gincu... yang ni dia tiru saya. Kadang-kadang dia main make up. Dia suka make up selepas tengok video kakak sulung dia buka di YouTube.

"Lagipun rumah saya tak ada alat make up, hanya ada gincu sahaja. Cuma memang gincu saya yang satu tu, dia dah cop dia punya," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azian berkata Ayeesha juga petah bercakap seperti orang dewasa dan suka berjenaka.

"Tak ada yang istimewa cuma dia memang pandai buat lawak. Dia juga pandai layan borak macam orang besar.

"Dia ada kakak dan abang. Mungkin sebab itulah nampak petah bercakap. Dia pandai bercakap pada usia setahun. Perkataan pertama dia sebut nak 'cucu' (susu) dalam nada pelat," katanya.

Nor Azian yang kini menetap di Johor tidak menyangka perkongsian video secara suka-suka itu akan menerima reaksi luar biasa daripada netizen.

"Kebetulan masa tu saya dan Ayeesha tengah tunggu kakak dia balik dari sekolah agama. Jadi saya rakam dan upload sahaja untuk suka-suka.

"Tapi tak sangka pula boleh viral. Lagipun reaksi dia memang spontan tak ada arahan daripada saya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ayeesha, cantik

Artikel Lain