"RAMAI bertanya sama ada penyanyi Sufian Suhaimi tu abang saya dan seperti biasa saya akan jelaskan sebenarnya antara kami tiada sebarang pertalian darah." Demikian kata Khairunnisa Farzana Mohd Asri, yang tiba-tiba menjadi sebutan di media sosial gara-gara wajahnya yang dikatakan seiras dengan pelantun lagu Di Matamu itu. Menurut remaja yang lebih mesra disapa Farzana itu, dia tidak menyangka gambar yang dimuat naik oleh rakannya di Twitter menjadi tular selain menerima pelbagai reaksi netizen. "Bila saya buat live, tanya soalan dalam IG (Instagram) masa tu ramai tanya sama ada saya adik kepada Sufian Suhaimi. "Saya kata bukan. Kami tak ada apa-apa kaitan dan saya jelaskan perkara sebenar. Saya sudah lali dengan pertanyaan ini," katanya remaja berusia 19 tahun ini kepada mStar Online. Tweet yang dimuatnaik rakan Farzana menjadi tular. Jelas pelajar tingkatan 6 di sebuah sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan itu, dia terkejut apabila terdapat netizen yang kreatif menyunting gambar Sufian memakai tudung untuk kelihatan sepertinya. "Saya terkejut juga sebab tak sangka sampai jadi macam ni. Mula-mula tweet ni hanya bergurau kawan-kawan sahaja tapi tak sangka ia viral. "Tapi saya tak ambil hati pun orang edit gambar... saya anggap niat mereka (netizen) nak bergurau. Saya pun terhibur," katanya. Ditanya mengenai komen netizen yang menyifatkan dia dan Sufian ada jodoh gara-gara memiliki wajah seiras, Farzana bagaimanapun tidak pernah memikirkan perkara itu. "Soal jodoh tu saya sendiri tak pernah terlintas di fikiran. Saya hanya anggap itu sekadar gurauan. "Mungkin mereka tengok cermin mata kami sama, tapi itu semua kebetulan saja. Dan mungkin mereka tengok ada bahagian tertentu yang sama, saya sendiri pun tak pasti," katanya. Farzana merupakan seorang pelajar tingkatan 6 di sebuah sekolah menengah di Nilai, Seremban. Farzana berkata dia mengenali Sufian Suhaimi sebagai penyanyi dan turut mengikuti perkembangannya di Instagram. "Saya follow (IG) dan tahu semua (berita) mengenainya. Saya minat jugalah lagu dia," katanya. Sejak tular, Farzana mengakui tidak berapa selesa dirinya menjadi perhatian. "Memang segan sebab orang asyik pandang-pandang. Cikgu mana yang tahu tu memang ada mengusik. "Kadang-kadang saya rasa tak selesa tapi benda dah viral kan, saya terpaksa laluinya," katanya yang mendedahkan turut mendapat banyak 'friend request' selepas gambarnya tular.