SEORANG bapa terselamat selepas berdepan detik cemas apabila dikejar sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian cubaan samun di kediamannya dekat Taman Bukit Kuchai, Puchong, petang Khamis. Semuanya gara-gara tindakan pantas Redzuan Harun, 56, masuk ke dalam rumah dan anaknya, Hazran Adli pula menahan pintu utama menggunakan badannya dan bertindak pantas mengunci pintu dari bahagian dalam. Menurut Hazran, semasa kejadian dia sedang bersiap-siap untuk keluar sebelum terdengar jeritan kuat bapanya. "Kejadian berlaku amat pantas, tempoh dalam dua saat macam tu untuk ayah selamatkan diri daripada kena tetak. Masa tu ayah dekat luar buka pagar sebab nak alihkan kereta. "Ayah terdengar bunyi motosikal tapi bila dia pusing je masa tu, ayah terus lari masuk ke dalam rumah, dan sempat tanggalkan selipar. Ayah jerit "perompak... perompak". "Saya pun kebetulan masa tu ada dekat ruang tamu. Saya terus tahan pintu dengan ayah. Lepas tu perompak siap tendang pintu tiga kali tapi saya sempat selak kunci selepas sepakan pertama," katanya ketika dihubungi mStar Online. Ayah Hazran bergegas berlari masuk ke dalam rumah menyelamatkan diri. Ditanya mengenai perasaannya ketika itu, Hazran berkata dia menggigil ketakutan. "Masa tu memang takut menggigil jugalah. Bila dah jadi macam tu, saya pun terus tahan pintu secara spontan. Kalau ikutkan saya bukannya berani sangat pun. "Saya bersyukur sangat-sangat sebab ayah selamat. Kalau lambat sedikit tak tahulah apa jadi. Sampai sekarang saya masih lagi terbayang muka salah seorang suspek. "Ayah OK... tenang cuma mak saya balik nangis-nangis peluk semua orang. Masa tu mak tak ada, dia dekat pejabat. Bila saya call dia terus balik sebab risau," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru kumpulan lelaki cuba samun di Bukit Kuchai Dalam pada itu, Hazran turut menarik nafas lega kerana sekumpulan perompak itu tidak pergi ke pintu bahagian belakang rumah mereka. "Saya lega sebab jeriji besi pintu belakang tidak berkunci dan masa tu anak buah saya berumur dua tahun ada dekat situ. "Kalau mereka pusing belakang memang dia akan jumpa anak buah saya dulu. Alhamdulillah Allah lindungi kami. "Namun mereka (perompak) sempat pecahkan cermin rumah sebelah pintu dan salah seorang daripada mereka pancitkan tayar kereta saya," katanya. Tweet Hazran mengenai insiden itu menjadi tular. Anak ketiga daripada enam beradik itu berkongsi kisah tersebut di Twitter sehingga menjadi tular dengan diulang kicau sebanyak 8,402 kali dan mendapat 3,777 tanda suka. Hazran turut memuat naik tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik cemas itu. Tapi saya nampak muka salah seorang daripada mereka sebab dia tanggalkan visor. Yang lain tak nampak sebab tertutup. InsyaAllah kalau saya dipanggil untuk buat kawad cam saya boleh ingat. ANAK MANGSA Meskipun masih trauma, Hazran berkata dia turut marah dengan perbuatan sekumpulan lelaki itu. "Rasa marah pun ada, lepas tu saya ada juga nak kejar tapi memang tak dapatlah sebab mereka semua naik motosikal. "Saya cuba cari, tanya jiran-jiran mereka kata nampak sekumpulan budak bawa motosikal tapi tak tahulah sama ada mereka orang yang sama atau tidak. "Tapi saya nampak muka salah seorang daripada mereka sebab dia tanggalkan visor. Yang lain tak nampak sebab tertutup. Insyallah kalau saya dipanggil untuk buat kawad cam saya boleh ingat," katanya. Susulan itu, pemuda berusia 26 tahun itu berkata dia memuat naik video tersebut kerana mahu orang ramai sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling. Perompak sempat menoreh tayar kereta milik Hazran. "Memandangkan insiden ini dah menimpa keluarga saya, saya minta orang ramai supaya lebih berhati-hati. "Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan jangan keluar rumah jika anda bersendirian. Perompak pada hari ini tidak memilih mangsa dan tempat, mereka main redah je," katanya. Hazran turut memberitahu dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang sejurus selepas insiden itu. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan aan mengesahkan polis sedang mengenal pasti sekumpulan lelaki yang cuba melakukan samun di kediaman Hazran. Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, sekumpulan tujuh lelaki dengan menaiki empat motosikal dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan itu sebelum dua daripada mereka memasuki sebuah rumah dengan bersenjatakan parang. Porch view as u can see my dad 2 sec away from getting tetak. Kalau lambat satu saat tahan pintu and masuk memg x ngam. Alhamdulillah semua ok. pic.twitter.com/M20nzUqoHq — Hazran Adli (@aranomilano) February 21, 2019