KELIBAT seorang lelaki berjalan kaki ketika cuaca panas terik di tepi lebuh raya di utara tanahair membuatkan seorang wanita memberanikan diri menunggang motosikal menentang arus untuk menghulurkan bantuan. Firasatnya kuat mengatakan lelaki berkopiah itu orang baik dan tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya. Perkongsian Nursyifarina Imani Abdullah, 24, yang menumpangkan lelaki tidak dikenali itu tular di media sosial sejak Khamis dan menerima reaksi positif dalam kalangan netizen. "Saya sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumah ibu di Alor Pongsu kerana dah habis kerja ketika ternampak pakcik itu jalan kaki selepas keluar simpang Plaza Tol Jawi. "Terbayang macam mana kalau ayah saya yang jalan tengah panas macam tu, sebab tu saya sanggup tunggang motosikal menentang arus untuk bertanya ke mana pakcik itu nak pergi. "Mulanya, dia tak layan soalan saya. Saya ingatkan dia bisu. Kemudian saya tanya sekali lagi, barulah dia kata nak jalan kaki ke Taiping," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Nursyifarina Imani bertemu dengan lelaki berkopiah itu di simpang keluar Plaza Tol Jawi. Jarak antara simpang Plaza Tol Jawi ke Taiping adalah kira-kira 57 kilometer (km). Tambah operator kilang fabrik itu, lelaki tersebut yang dianggarkan berusia dalam lingkungan lewat 40-an berjalan kaki dari Sungai Dua, Seberang Perai Utara sebelum dijumpainya di Plaza Tol Jawi. Nursyifarina Imani bagaimanapun tidak sempat bertanyakan nama dan latar belakang lelaki tersebut kerana tidak tergamak untuk menyinggung perasaannya. Katanya, lelaki itu sebenarnya ke Sungai Dua dari Taiping untuk mencari rezeki tetapi terpaksa pulang dengan hampa apabila gagal mendapatkan pekerjaan. "Saya harap sangat pakcik tu dapat kerja tidak lama lagi untuk tampung diri dan keluarganya. Nursyifarina Imani membelikan tiket untuk lelaki tersebut pulang ke Taiping. "Saya pernah rasa hidup susah dan bila dah merasa pegang duit sendiri, apa salahnya saya bantu orang yang memerlukan," katanya yang menghantar lelaki berkenaan ke Stesen Bas Parit Buntar untuk menaiki bas ke Taiping. Nursyifarina Imani turut membelikan tiket bas yang berharga RM5 untuk lelaki terbabit. Tambah wanita itu, dia tidak pernah teragak-agak untuk berkongsi rezeki dengan sesiapa kerana baginya, segala yang dikurniakan oleh Tuhan kepadanya juga ada bahagian untuk pihak lain. Selepas posting tersebut tular, ramai yang menghantar kata-kata semangat dan memuji tindakan wanita berkenaan. Kata Nursyifarina Imani, dia turut terkejut kerana posting itu berjaya membuatkan rakan lama menghubunginya untuk bertanya khabar.