suria

Brokoli ganti bunga tangan, kata bekas gelandangan “ini sayur pertama saya makan ketika kenal wife”

Gambar brokoli sebagai bunga tangan yang menjadi pilihan Nurhayati tular di media sosial. Foto ihsan Raja Mohamad Nazrin.

BROKOLI dan miniatur lego, kombinasi dua item yang langsung tidak berkaitan dan sama sekali tidak pernah difikirkan dek akal akan menjadi aksesori di hari perkahwinan.

Namun dua item itu menjadi pilihan pasangan pengantin baharu, Mohamed Nasaruddin Jaafar dan Nurhayati Aznan yang disatukan pada 19 Februari lalu.

Mohamed Nasaruddin atau lebih mesra disapa Nasa ketika dihubungi mStar Online memberitahu brokoli menjadi pilihan isterinya untuk dijadikan bunga tangan kerana mahukan kelainan, selain tidak mahu membazir.

"Sebenarnya kalau dia luar negara ramai yang jadikan brokoli sebagai bunga tangan. Mungkin di Malaysia jarang ada, jadi orang pelik. Lagipun isteri saya mahukan kelainan. Idea tersebut nampak segar dan ringkas.

"Dari kami membazir beratus ringgit untuk benda pakai buang yang mahal, brokoli tersebut hanya berharga RM3.68. Sebaiknya duit yang boleh dibazirkan itu kami utamakan untuk kegiatan amal lain," katanya yang bergiat aktif dalam aktiviti amal bersama gelandangan, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Pengantin perempuan memilih brokoli sebagai bunga tangan kerana mahukan kelainan.

Dalam pada itu, Nasa berkata brokoli mempunyai maksud tersendiri yang mana ia mengimbas detik pertemuan mereka kira-kira empat tahun lalu.

"Brokoli sayur pertama yang saya makan masa mula-mula kenal dengan wife. Brokoli dalam tom yam. Saya sebenarnya tak makan sayur... orang kampung celup.

"Lagipun keluarga dulu tak mampu nak beli ikan... sayur. Semua ternak atau tanam sendiri. Ayam belakang rumah, sayur kangkung tepi rumah, kebun ubi dekat seberang," katanya dalam nada berseloroh.

Mengenai miniatur lego yang dilihat sebagai pengganti kepada butang baju melayunya pada hari pernikahan mereka, Nasa berkata beliau sekadar mahu menampakkan sedikit hasil kerja tangan pada baju pengantin sebelah lelaki.

"Asalnya nak lengkapkan baju supaya sebelah lelaki pun ada custom made sendiri memandangkan sebelah isteri semua hasil kerja tangan sendiri daripada baju kurung moden sehinggalah layah (veil).

"Baju kurung moden kosong warna putih isteri beli RM59, kemudian dia tambah renda, mutiara dan berlian dalam harga RM48 untuk nampak lebih cantik. Jadi kos keseluruhan baju tu dalam RM107," katanya.

Baju kurung moden pengantin perempuan hanya berharga RM107.

Jelas Nasa, beliau tidak menjangka butang baju lego tersebut akan menjadi tular di media sosial.

"Saya tak sangka viral. Saya tiada sebab ketara mengenai perkara itu kecuali saya sendiri tahu nilai dan potensi perniagaannya.

"Bermula bulan ini kami memperkasakan gelandangan untuk menghasilkan butang lego dan pelbagai barangan berkaitan perkahwinan. Bagi mereka (gelandangan) kerja ada bergaji kemudian jual," katanya.

Nasa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa syarikat berasaskan kebajikan berkata, sehingga hari ini mereka menerima tempahan luar biasa untuk menghasilkan butang lego tersebut.

"Sehingga hari ini kami dapat 3,000 tempahan. Nak bagi gelandangan bukan makanan sahaja tetapi peluang berdiri di kaki sendiri.

"Ini kerana saya sendiri dulu geladangan, tidur tepi jalan selama setahun pada 2013 dan 2014. Jadi saya mahu bantu golongan ini memperbaiki kehidupan mereka," katanya.

Lebih mengejutkan, pemuda berusia 34 tahun itu mendedahkan majlis perkahwinan mereka hanya menelan belanja kurang RM3,000.

Butang baju unik menggunakan miniatur lego.

"Semuanya hanya menelan belanja kurang RM3,000 termasuk makan malam khas. Kami hanya buat benda wajib tak perlu ikut adat. Sekadar ikut apa yang dituntut agama. Makan malam semeja bersama yang hadir. Itu lebih bermakna.

"Saya dulu perancang perkahwinan jadi sanding tu bukan satu kemestian. Bak kata isteri saya konsep berjimat dalam majlis perkahwinan tidak bermakna kita korban benda yang kita mahu," katanya.

Sementara itu, Nasa enggan ambil pusing kecaman netizen yang menganggap mereka kedekut gara-gara berbelanja sederhana untuk majlis perkahwinan mereka.

"Semua kami buat sendiri termasuk doorgift, dulang hantaran dan kad jemputan kahwin. Orang ramai ingat kami kedekut padahal kami bukan tak mampu. Kami mahu menghasilkan segalanya custom made kerana ia lagi bermakna. Pengalaman itu kekal selamanya.

"Kami sebenarnya mempunyai inisiatif sosial kami sendiri. Doorgift dibungkus dan dihasilkan gelandangan dan ibu tunggal. Saya mahu buktikan kita mampu bergembira sambil bantu orang lain. Tak perlu tunggu kaya nak bantu orang lain," katanya.

Kad kahwin hasil kerja tangan sendiri dan doorgift yang dibungkus golongan gelandangan dan ibu tunggal.

Gambar perkahwinan pasangan ini diulang kicau sebanyak 9,636 kali dan mendapat 7,261 tanda suka selepas dikongsi jurugambar mereka, Raja Mohamad Nazrin Raja Mudzafar Shah di Twitternya baru-baru ini.

Raja Mohamad Nazrin yang menawarkan perkhidmatan jurugambar bebas berkata dia berkongsi gambar tersebut kerana merasakan ia unik.

"Ini pengalaman pertama saya dapat pasangan seperti mereka. Sebelum ini banyak guna bunga tangan biasa tapi tak sangka ini lain daripada yang lain... sangat unik," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
lego, brokoli, pengantin

Artikel Lain