suria

Imbas momen bersama 3 anak kecil, nukilan sayu Umi buat 'mata masuk habuk'

SEGALA yang ada di depan mata tidak akan kekal selamanya, begitu juga hakikat kehidupan setiap insan termasuk yang bergelar ibu.

Jika dahulu, senario anak kecil berlari di sekeliling rumah menjadi senario biasa, namun segalanya hilang setelah mereka menginjak ke usia dewasa.

Di laman Facebook, posting sayu ibu berusia 48 tahun yang menzahirkan kerinduan kepada anak-anak menerusi penulisan puitis menarik perhatian ramai.

Dalam perkongsian itu, Nor Norza, mengimbas kembali kenangan pada 1999 bersama tiga anaknya.

Kisah itu dikongsikan sekali lagi oleh salah seorang anaknya menerusi laman Twitter sehingga menerima lebih 16,000 ulang kicau (Retweet).

Paparan skrin sebahagian daripada perkongsian Umi di laman Facebook.

Bercerita kepada mStar Online, dia mengakui luahan rasa yang ditulisnya itu langsung tidak dapat menggambarkan rasa sebenar yang terbuku di jiwa.

“Apa yang saya tulis sebenarnya hanya mewakili lima peratus daripada perasaaan yang sebenar.

“Tak puas langsung. Jika mahu disemak daripada kata hati yang sebenar, pastilah sudah tercipta kamus khas untuk menggambarkan rasa itu.

“Kerana hati ibu hanya ibu yang faham. Takkan ada kata-kata di dunia yang benar-benar dapat menterjemahkan rasa kasih dan rindu itu,” ujarnya yang mesra disapa Umi sewaktu dihubungi pada Jumaat.

Yumna memuat naik semula tulisan ibunya ke laman Twitter sehingga menjadi tular.

Menurut Umi, dia yang juga guru subjek Pendidikan Islam sememangnya suka menulis sejak 1980-an lagi.

Malah, hasil penulisannya juga pernah dipaparkan menerusi beberapa majalah, suatu ketika dahulu.

Kerana hati ibu hanya ibu yang faham. Takkan ada kata-kata di dunia yang benar-benar dapat menterjemahkan rasa kasih dan rindu itu.

[Nor Norza]

Dalam pada itu, Umi mengakui tidak dapat menahan air mata sewaktu menulis kisah mengenai tiga anaknya itu.

“Sebenarnya, saat-saat kecil mereka itulah yang sangat manis. Umi masih muda ketika itu, pada 1999 Umi baru sahaja berusia 28 tahun dengan tiga anak kecil.

“Pada masa itu kita rasa sangat renyah, penat, asyik nak marah dengan keletah anak-anak. Tanpa kita sangka rupanya itulah detik paling manis dalam hidup. Detik paling menyentuh untuk dikenang.

“Umi sebenarnya sentiasa rindukan anak-anak. Apatah lagi sejak semuanya sudah keluar rumah dengan membina kehidupan masing-masing,” ujarnya lagi.

Umi bersama Yumna dan Yusra, sekitar tahun 1996.

Umi mempunyai tiga cahaya mata, iaitu Yusra Baharuddin, 25, Yumna, 23 dan Yulea, 20.

Dia kini menetap di Kulai, Johor bersama Yulea, manakala dua lagi anaknya tinggal berasingan akibat tuntutan kerjaya.

Jelas Umi, dia biasanya akan menyanyikan lagu-lagu kegemaran anaknya apabila rasa rindu datang bertandang.

“Umi akan nyanyi lagu yang mereka suka masa kecil. Macam Yumna dia suka lagu Elegi Sepi nyanyian Azharina.

“Yusra suka lagu Suci Dalam Debu dendangan Iklim. Yulea pula suka lagu Beras Cap Rambutan,” ujar Umi lagi.

Yulea (paling kiri) diikuti Umi, Yusra dan Yumna (kanan).

Malah, Umi juga sebolehnya mahu berkumpul dengan anak-anak sekerap yang mungkin jika berkelapangan.

Sementara itu, Yumna yang memuat naik semula perkongsian ibunya dari laman Facebook ke Twitter mengakui tersentuh dengan penulisan itu.

Yumna dan adik beradiknya turut membuat panggilan video berkumpulan bersama Umi sejurus membaca penulisan itu.

“Saya tersentuh lepas baca, saya tahu dia rindu suasana kami waktu kecil.

“Kami selalu juga jumpa, tapi semua sibuk kerja. Penulisan itu secara tak langsung sedarkan saya yang setiap hari kena luangkan masa walau sikit untuk mak kita,” katanya lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nor Norza, Yumna Baharuddin

Artikel Lain