suria

Syarat melampau cari bini, ahli perniagaan dilabel 'sugar daddy' tawar elaun RM10k, simpanan RM150k

Gambar hiasan. Foto Dreamstime/TNS

INI bukan filem romantik 30 hari memburu cinta, sebaliknya misi ekspres pencarian calon isteri oleh seorang jejaka di laman sosial.

Pemuda berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Aman mempromosikan dirinya dengan begitu menarik apabila mendakwa bekerjaya sebagai ahli perniagaan, mempunyai tiga rumah dan dua kereta mewah.

Selain butiran diri bagai ‘bulan dan bintang’, dia turut membuat tawaran lumayan buat suri hatinya, seperti elaun bulanan RM10,000, simpanan kecemasan RM150,000 dalam akaun bank, insurans hayat, melancong, malah dibenarkan untuk tidak bekerja. Goyang kaki saja!

Pencarian jodoh menerusi laman sosial. Grafik The Star

Namun daripada senarai 14 kriteria calon isteri yang diidamkan yang dikongsi bersama seorang pengguna Twitter, salah satunya merupakan permintaan yang melampau.

“Banyak dah aku nampak benda macam ni. Nak cari bakal bini tapi menyorok jadi anonymous kat curiouscat (rangkaian sosial berbentuk soal jawab). 

“Tertanya-tanya juga aku lepas dah ramai emel kat dia pastu dia mesti minta gambar. Dapat pula yang masuk umpan, bagi gambar. Pastu gambar tu buat apa?” soal pengguna Twitter @OwToTheZie sehingga tular.

Perkongsian Rozeeta mengenai seorang pemuda mencari jodoh.

Pengguna Twitter berkenaan, Rozeeta Abdul Manan, 34, berkata, dia mendapat butiran tersebut selepas seorang pengguna lelaki meminta dia berkongsi ‘pencarian’ itu.

“Mula-mula saya sangsi dengan anak muda ini yang dah ada macam-macam aset, tunjuk kekayaan. Siap ada tawaran elaun beribu ringgit kepada bakal isteri.

“Bila salah satu kriterianya berkaitan dengan keinginan seks, saya tahu ia mengarut. Bila dia cakap pasal perkara itu, saya fikir mungkin ramai yang akan terjebak demi duit dengan berikan gambar tak senonoh,” katanya kepada mStar Online.

Bila salah satu kriterianya berkaitan dengan keinginan seks, saya tahu ia mengarut.

Rozeeta Abdul Manan

Pengguna Twitter

Rozeeta yang sudah berkahwin menyuarakan kebimbangannya sekiranya pemuda misteri itu mempunyai niat jahat seperti mencuri data peribadi pengguna.

“Saya bimbang kalau dia nak curi data atau ada yang bernasib malang hantar gambar kat dia, kemudian dia akan ‘super impose’ untuk laman web lucah.

“Itu bukan ‘prank’ (gurauan), tapi saya tahu niat dia bukan nak cari isteri. Ada pengguna Twitter yang bergurau lelaki ni boleh jadi sugar daddy mereka,” katanya sambil menambah ia boleh mendorong kepada aktiviti tidak bermoral.

Butiran mengenai seorang pemuda mencari calon isteri.

Antara kriteria isteri yang dicari pemuda misteri itu adalah bijak, mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya diploma, pembersih, peramah dan fasih berbahasa Inggeris serta tidak ketagih dengan laman sosial Instagram.

Rozeeta memberitahu, modus operandi lelaki mencari jodoh itu adalah kekayaan yang tiada kesahihannya bagi memperdayakan gadis-gadis.

“Lelaki itu dah macam bapa ayam sebenarnya. Saya perempuan, tak ada anak dan tak ada adik. Tapi saya banyak tengok TV. Selalu bayangkan apa yang ditayangkan dalam TV tu betul.

“Hati-hati dengan apa yang kamu nampak kat Internet. Tak semua lelaki ‘kaya’ itu benar-benar kaya. Sebagai wanita, kita tidak memerlukan lelaki kaya untuk bahagia,”  katanya yang merupakan jurusolek dan berniaga sendiri.

Rozeeta mendedahkan mengenai pencarian jodoh yang meragukan.

Rozeeta turut menasihatkan agar tidak terlalu memaksa diri dalam mencari pasangan atas faktor umur kerana jodoh pertemuan itu ketentuan Tuhan. 

“Tolonglah jangan percaya dengan benda-benda seumpama ini. Gambar pun janganlah kongsi sebarangan dengan mana-mana lelaki. Kesian mak ayah kita.

“Kepada lelaki, hentikanlah guna cara macam ni. Guna saluran yang betul. Kalau betul nak cari jodoh, gunakan Twitter tunjuk diri sebenar kamu atau paling tidak, buka laman web Baituljannah," katanya yang merujuk kepada laman mencari jodoh Muslim.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain