suria

Backhoe punya hal... habis satu kampung terperangkap

Operasi mengalihkan jentolak yang jatuh ke dalam anak sungai tersebut.

SEKUMPULAN pemuda tidak menyangka keseronokan bercuti di sebuah kampung di Jelebu, Negeri Sembilan terbantut apabila jambatan yang menghubungkan jalan utama dengan kampung tersebut runtuh.

Jambatan yang dibina merentasi anak sungai Kampung Chennah di Lembah Calin itu roboh selepas sebuah jentolak pengorek-kaut melintasinya.

Insiden itu sempat dirakam Mahadi Abdul Razak, 32, yang berada berhampiran lokasi kejadian ketika bersantai dan mandi manda di sungai itu bersama rakan-rakannya yang lain.

Mahadi.

"Kami bercuti tu di kampung kawan saya, dia dah pesan kalau kenderaan berat tu keluar, tolong tengok-tengokkan.

"Saya rasa macam ada benda tak elok nak berlaku, sebab itulah saya terdetik hati nak rakam kejadian tu. Tak sangka pulak jentolak tu tergolek ke dalam sungai," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, pemandu jentolak itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana dikatakan sempat berpaut kepada struktur traktor penyodok tersebut.

Rakaman tersebut turut dikongsikan oleh rakannya, Mohd Zulhilmi Abd Karim, 32, ke laman Facebook pada Rabu.

Pemandangan rumah salah seorang penduduk di Kampung Chennah.

Tambah pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur itu, khidmat kontraktor jentolak tersebut dipanggil Mohd Zulhilmi untuk meratakan kawasan kebun di tanah bapa saudaranya.

"Sebelum panggil kontraktor datang, kawan saya (Mohd Zulhilmi) sudah tanya sama ada kontraktor itu boleh buat kerja meratakan tanah dengan melalui jambatan itu dan kontraktor itu bagi jaminan memang dia boleh buat.

"Sebelum ni, dia masuk ke kampung tu okay je, tapi masa nak keluar pula jambatan jadi tak kukuh dan runtuh.

"Selepas insiden itu, kereta saya tak dapat keluar dari kampung tersebut sehingga kami terpaksa panggil kawan dari Kuala Lumpur untuk datang ambil kami," ujarnya.

"We all nak balik KL tak boleh ni." ? #Jelebu Kredit video: @zhilmii #mstaronline #mstarn

A post shared by mStar Online (@mstaronlineofficial) on

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, mereka berharap pihak berkuasa dapat segera membaiki jambatan tersebut kerana ia merupakan satu-satunya laluan untuk orang kampung keluar masuk.

"Laporan dah dibuat di balai polis dan polis kata akan dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membaik pulih jambatan itu," katanya sambil memberitahu bahawa ia juga menjadi laluan utama pelancong ke kawasan eko-pelancongan itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jentolak pengorek-kaut

Artikel Lain