suria

‘Rare’ kambing sertai hari sukan sekolah, tiba-tiba ‘Abang’ terlepas... kecoh dibuatnya!

Kemunculan seekor anak kambing menjadi kejutan pada Kejohanan Olahraga Sempena Ulang Tahun ke-100 Sekolah Ibrahim pada Khamis. Foto ihsan Mahzan Mohd Mohidin

BUKAN biasa-biasa apabila hari sukan sekolah di utara tanah air bertukar kecoh dengan kemunculan ‘maskot’ original - seekor anak kambing.

Kambing tersebut bukan sahaja ‘berpakaian’ hijau sepadan dengan warna rumah sukan, malah berada di hadapan sekali semasa acara perbarisan. 

Rare tak rare, perbarisan hari sukan sekolah aku bawa kambing,” kata seorang pengguna akaun Twitter @farer__ pada Khamis.

Perkongsian oleh alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim di Jalan Kolam Ayer, Sungai Petani di Kedah itu diulang kicau lebih 7,000 kali.

Perkongsian mengenai anak kambing di perbarisan hari sukan, di laman sosial.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Ibrahim, Abd Jamil Nazri berkata, acara sukan itu merupakan Kejohanan Olahraga Sempena Ulang Tahun ke-100 sekolah itu pada Khamis.

Menurut guru berusia 53 tahun itu, kehadiran kambing tersebut merupakan kreativiti salah satu daripada lima rumah sukan yang bertanding iaitu Syed Jan.

“Ia merupakan kreativiti masing-masing untuk acara perarakan sempena kejohanan semalam. Pihak sekolah tidak mengehadkan kreativiti mereka selagi ia bukan negatif dan mematuhi etika serta peraturan sekolah.

“Kambing tu untuk mereka seronok-seronok pada hari sukan. Kalau mereka bawa kambing tu dan tiba-tiba nak sembelih di tengah padang, memang tak boleh lah dan akan kena marah,” katanya secara berseloroh kepada mStar Online pada Jumaat.

Anak kambing bernama 'Abang'.

Abd Jamil yang bertugas di SMK Ibrahim sejak 17 tahun lalu memberitahu, pada awalnya dia menyangkakan bunyi kambing mengembek itu sengaja dibuat-dibuat oleh pelajarnya.

“Memang ada pelajar yang selalu buat macam-macam bunyi untuk bergurau, termasuk bunyi binatang. Saya ingatkan bunyi mengembek itu daripada mereka.

“Tapi saya kemudian nampak ada seekor anak kambing semasa perbarisan di tengah padang. Ia merupakan kreativiti yang tidak dijangka dan ramai terhibur,” katanya.

Ada pelajar yang selalu buat macam-macam bunyi untuk bergurau, termasuk bunyi binatang. Saya ingatkan bunyi mengembek itu daripada mereka.

Abd Jamil Nazri

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Ibrahim

Guru-guru dan para pelajar bersama kambing mewakili rumah sukan Syed Jan.

Sementara itu, Ketua rumah sukan Syed Jan, Mahzan Mohd Mohidin, 38, memberitahu, penampilan kambing tersebut merupakan ideanya sejak tiga tahun lalu.

Namun katanya, idea tersebut hanya dapat diguna pakai selepas dia dilantik sebagai ketua rumah sukan bagi acara olahraga tahun ini.

“Akhirnya selepas tiga tahun, saya puas. Anak kambing tu sebenarnya adalah kambing yang saya bela di Kulim, Kedah. Dah enam tahun saya menternak kambing.

“Nama dia ‘Abang’ dan ia memang jinak dengan saya. Seawal pukul 6 pagi lagi ‘Abang’ dibawa oleh pekerja saya dari Kulim ke Sungai Petani,” ujarnya yang menternak kira-kira 200 ekor kambing, selain membela lembu dan burung.

Rumah sukan Syed Jan menjadi johan bagi acara perbarisan pada Kejohanan Olahraga Sempena Ulang Tahun ke-100 Sekolah Ibrahim.

Mahzan yang juga guru kejuruteraan di sekolah itu memberitahu, keadaan ‘Abang’ begitu terkawal sepanjang kejohanan berlangsung.

Bagaimanapun, dia berkata, anak kambing tersebut ‘terlepas’ seketika semasa acara lintas hormat berlangsung apabila tali pengikat pada haiwan itu tidak dipegang dengan baik.

“Tapi tak lama sebab ‘Abang’ hanya berlari di padang hanya kira-kira seminit, sempat juga kami kejar. Lagipun saya ada dan ‘Abang’ memang jinak dengan saya.

“Alhamdulillah, rumah sukan Syed Jan menjadi johan acara perbarisan bagi hari sukan tahun ini. Tuah ‘Abang’ nampaknya. Kalau saya masih dipilih jadi ketua rumah sukan tahun depan, siapa tahu burung atau lembu pula dibawa nanti,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kambing, SMK Ibrahim, Syed Jan

Artikel Lain