SUBJEK melibatkan pengiraan dan nombor sering menjadi igauan ngeri kebanyakan pelajar bermula dari zaman sekolah hingga ke peringkat universiti. Selain pening dengan lambakan nombor dan simbol, mereka juga perlu menghafal banyak formula sekaligus menjadikan ia subjek yang kurang digemari. Sudah menjadi senario biasa apabila pelajar sering berpura-pura faham dalam kelas subjek tersebut dan ramai yang takut sekiranya disoal oleh guru atau pensyarah. Terbaharu, satu rakaman video yang memaparkan situasi itu berjaya dirakam sehingga ia tular dan menarik perhatian ramai. Menurut Wan Naqiudin Aqil Che Wan Nasarudin, dia tertarik untuk merakam kelakuan rakan sekelasnya, Iskandar Bukhori Kamaruddin yang sedang asyik menekan kalkulator biarpun tidak memahami topik yang diajar oleh pensyarah mereka. Paparan skrin perkongsian video berkenaan yang tular di laman Twitter. "Masa tu subjek Ekonomi dalam Perancangan, kuliah dalam dua minggu lepas. Subjek tu agak sukar sebenarnya sebab selama ni banyak belajar teori sahaja. Saya duduk di belakang, nampak Isqandar hentak-hentak kalkulator, nak bagi nampak macam faham. Pensyarah perasan sebab dia nampak saya rakam, terus dia tegur 'tipu tu Isqandar'. "Lepas tu dia dipanggil untuk jawab kat depan. Tapi akhirnya dia faham dan boleh jawab juga," ujar Aqil sewaktu dihubungi mStar Online pada Isnin. Menurut Aqil, dia dan Isqandar masing-masing berusia 22 tahun dan sedang menuntut dalam bidang Perancang Bandar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Jelas pelajar yang berasal dari Kuala Lumpur itu, rakan-rakan pelajar yang lain turut ketawa setelah kelakuan Isqandar 'kantoi' dalam kelas tersebut. Dia bagaimanapun menyifatkan pensyarah mereka, pensyarah kanan Dr Norsuzilawati Rabee sebagai tenaga pengajar yang cukup baik dan sanggup mengulangi topik berkenaan beberapa kali agar dapat difahami semua pelajar. Isqandar (berdiri, kiri) bersama Aqil yang menjadi 'tukang rakam' videonya baru-baru ini. Mengulas perkongsian video itu yang menerima hampir 37,000 ulang kicau (Retweet), Aqil mengakui terkejut dan tidak menyangka sama sekali bahawa ia akan menarik perhatian ramai. "Saya dengan kawan-kawan memang suka bergurau saling upload video kami. Memang jenis macam tu. "Masa saya post video Aqil, saya fikir pelajar di universiti kami sahaja yang akan respons. Tak sangka pula ramai yang terhibur," katanya lagi. Dalam pada itu, rata-rata netizen khususnya yang pernah berhadapan situasi sama sewaktu zaman belajar turut meninggalkan komen mereka di posting berkenaan. "Benda ni la masa sekolah pernah kena. Cikgu mengajar subjek kita tak faham. Pura-pura buat macam faham last-last kantoi pastu suruh jawab soalan dia," tulis @aishahridwan. "Aku pernah gak buat macam ni masa kuliah math zaman matrik pastu lecturer tanya jawapan berapa terus gelabah tanya kawan HAHAHA," tulis @fazirulhairie "Aku pun kekadang buat camni. Tapi ni over sangat tekan sampai kantoi," tulis seorang lagi pelayar Twitter. Disebabkan taknak nampak tak faham dengan calculation, member main hentak je calculator tu supaya nampak macam tengah buat kerja. Last last kantoi dengan madam, "tipu tu iskandar" HAHAHAHA ? pic.twitter.com/Qf6UK9c6yF — Wan Naqiudin Aqil (@AqilFeehily) March 12, 2019