suria

Korban seorang anak... tangguh hasrat ke IPT, tawar khidmat lukis potret bantu kos rawatan penyakit bapa

Salah satu seni lukisan hasil tangan Aisyah sendiri bagi membantu bapanya yang kini berada di hospital bagi menjalani rawatan penyakit buah pinggang tahap empat.

LAKARAN potret karya setiap pelukis mempunyai keunikan tersendiri mengikut kreativiti dan keistimewaan masing-masing, sekali gus ia mampu membuka peluang sebagai sumber pendapatan.

Menyedari jemarinya yang mampu menghasilkan karya seni itu, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam ini terpanggil untuk berbakti kepada keluarga bagi menjana pendapatan menerusi penghasilan potret.

Remaja berusia 20 tahun ini, Nur Aisyah Muhammad Fairuz, menggunakan kebolehannya dengan menawarkan khidmat melukis potret menerusi postingnya di laman Twitter hingga ia tular baru-baru ini.

Gadis yang menetap di Kampung Melayu Subang, Selangor ini menawarkan harga serendah RM30 untuk satu lukisan potret single, manakala gambar berpasangan pada kadar RM50 untuk saiz A4.

Kata Aisyah, pada mulanya dia tidak begitu yakin dengan bakat yang ada pada dirinya namun berusaha mempelajari subjek seni secara menyeluruh melalui kerja khusus ketika di tingkatan lima.

Nur Aisyah mempunyai minat yang mendalam terhadap seni lukisan.

"Pada mulanya, saya melukis untuk suka-suka dengan 'shading' yang tidak kena tetapi saya teruskan juga sebab minat yang mendalam.

"Saya juga hampir putus asa untuk belajar melukis tetapi dengan sokongan rakan-rakan, saya terus kuat semangat dalam mempelajari seni lukis ini," ujar anak kedua daripada lima beradik ini.

Namun, di sebalik kesungguhannya dalam membantu meringankan beban keluarga, tersimpan satu kisah yang membuatkannya terus bersemangat untuk melukis potret.

"Ayah saya menghidap penyakit kegagalan kedua-dua buah pinggang tahap empat dari tahun lepas dan dua tiga bulan ini, penyakit ayah semakin teruk.

"Sejak ayah tidak bekerja dan berada di Hospital Selayang , saya juga menjual makanan Takoyaki untuk tolong ibu saya," ujar Aisyah menceritakan kerja sambilannya ketika dihubungi mStar Online.

Pada awalnya, ibu kepada Aisyah, Mazlina Mokhtar,48, juga menguruskan jualan Takoyaki, namun kini dia mengambil tugas menjaga suaminya, Muhammad Fairuz Saperi, 45 yang kini tidak lagi bekerja kerana berdepan dugaan menanggung sakit buah pinggang dan perlu kerap menjalani rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Aisyah yang lulus semua subjek STPM juga berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya dalam jurusan seni lukis di Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun buat masa ini dia terpaksa menyimpan dahulu hasratnya kerana mahu menumpukan kepada keluarga.

Posting di Twitter yang mencuri tumpuan ramai.

Kisah Aisyah yang dipaparkan menerusi postingnya di laman Twitter tular dan menjadi perhatian ramai apabila postingnya meraih lebih 11,000 ulang kicau dan 3,000 tanda suka.

Melalui posting itu, rata-rata netizen memberi komen dengan menyokong usahanya menghasilkan seni lukisan itu.

Kata gadis itu, setelah posting di Twitter tular, dia menerima lebih 70 mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada pelanggan yang ingin mendapatkan servisnya untuk melukis potret.

"Alhamdulillah sambutan daripada pelanggan tidak menang tangan dan sekarang ni ramai yang dah order.

"Ada juga yang baik hati ingin memberikan sumbangan namun saya menolaknya dan hanya menerimanya jika mereka ingin membeli potret hasil lukisan saya.

Maklum balas positif daripada salah seorang pelanggannya.

Menerusi twitter Aisyah, dia memuat naik beberapa maklum balas daripada pelanggannya yang berpuas hati dengan servis yang diberikan.

"Untuk pelanggan saya, terima kasih kerana terus memberi semangat dengan potret yang dihasilkan oleh saya sendiri. Saya sangat hargai," ujarnya yang mengharapkan bapanya sembuh kembali.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
lukisan, potret, Aisyah

Artikel Lain