ACAPKALI sekolah menyambut Hari Guru, individu yang diberikan penghargaan dan diraikan sudah tentu golongan pendidik, tetapi bagaimana dengan kakitangan lain di sekolah? Seorang bapa berpandangan, adalah wajar diadakan sambutan untuk menghargai dan mengiktiraf kakitangan sokongan seperti tukang sapu dan pengawal keselamatan menerusi penyampaian anugerah. Segalanya bermula apabila kisah mengenai seorang pengawal keselamatan di sekolah anaknya dipaparkan dalam perkongsian di laman sosial Facebook, sebelum menjadi tular. ARTIKEL BERKAITAN: Lambaian Uncle Sri dirindui, ada pelajar UPM menangis, sanggup cari nak tunjuk tesis ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya... selepas tesis kena ‘reject’ 3 kali, pelajar pusing satu UPM cari Uncle Sri Seorang bapa berpandangan pengawal keselamatan di sekolah wajar diberikan pengiktirafan pada Hari Guru. “Saya terharu dengan layanan seorang pengawal keselamatan sekolah Selayang Utama ini kerana setiap hari dia akan tunggu di hadapan pintu pagar menyambut dengan senyuman dan memberikan salam kepada ibu bapa yang hantar anak. “Setiap hari juga dia akan buka pintu kereta saya dan menyambut anak saya termasuk waktu hujan lebat. Bukan untuk anak saya sahaja tetapi anak-anak orang lain juga. Dalam hujan lebat pun mampu senyum dan bagi salam,” demikian kata lelaki berusia 42 tahun itu. Mohd Azhani Samad, berkata, dia tidak menyangka perkongsiannya pada 2015 yang dikongsi semula menjadi tular di media sosial. Pakcik Razak cukup disenangi ibu bapa murid di SK Selayang Utama. Bapa tiga anak itu memberitahu, dia memberi pandangan tersebut selepas pengawal keselamatan di sekolah anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Selayang Utama di Batu Caves Selangor, begitu disenangi guru-guru dan ibu bapa sehingga ke hari ini. Sebagai pengawal keselamatan, Pakcik Razak bukan biasa-biasa. Dia bekerja dengan jiwa dan selepas empat tahun, jiwa dia masih kuat. MOHD AZHANI SAMAD “Saya tak pernah tengok pengawal keselamatan begitu teliti seperti dia yang dipanggil Pakcik Razak oleh murid-murid. Perkongsian saya mengenai dia pun selepas beberapa lama saya perhatikan dia menjalankan tanggungjawabnya di sekolah. “Selepas empat tahun, dia tak pernah berubah. Masih berkelakuan sama terus mengukir senyuman, mengangkat tangan dan memberi salam,” katanya kepada mStar. Mohd Azhani (belakang) bersama dua daripada tiga anaknya. Mohd Azhani yang merupakan pengasas Akademi dan Latihan Pengacara Malaysia berkata, dia pernah beberapa kali menawarkan makanan dan minuman kepada pengawal keselamatan itu bagi membalas jasanya, tetapi ditolak secara baik. Jelas Pakcik Razak, apa yang dilakukannya selama berkhidmat di sekolah sudah menjadi tanggungjawabnya. “Orangnya rajin bekerja, ringan tulang kerana sering membantu guru-guru dan ibu bapa. Keutamaan dia adalah menjaga keselamatan semua di sekolah. “SK Selayang Utama terletak di hadapan kawasan perumahan. Jadi, Pakcik Razak juga membantu mengawal keadaan lalu lintas supaya tidak sesak,” katanya. Anak-anak Mohd Azhani turut menyenangi sikap Pakcik Razak yang peramah. Sehubungan itu, Mohd Azahari berpendapat adalah wajar kakitangan sokongan di sekolah seperti Pakcik Razak turut diberikan penghargaan sempena Hari Guru. “Walaupun dia adalah pengawal keselamatan, tapi dia melayan murid-murid seperti anaknya sendiri. Dia juga banyak mempermudahkan urusan guru-guru dan ibu bapa. “Sebagai pengawal keselamatan, Pakcik Razak bukan biasa-biasa. Dia bekerja dengan jiwa dan selepas empat tahun, jiwa dia masih kuat,” katanya.