HASRAT seorang saudara baharu untuk memiliki al-Quran tidak kesampaian apabila dia ditipu seorang peniaga atas talian, baru-baru ini. Jessie Toh Mei Ling atau nama Islamnya, Nur Jasmin Nadeera Toh Chin Hock yang memeluk Islam pada 2 Mei lalu mengakui terkilan dengan kejadian berkenaan. Mesra disapa Jasmin, anak kelahiran Melaka yang berusia 19 tahun itu bagaimanapun menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian buat dirinya. ARTIKEL BERKAITAN: Kedai 'sepi' pelanggan tular sebab makanannya sedap, 'meriah' bahan... terus pakcik Cina Muslim tak menang tangan! ARTIKEL BERKAITAN: Mualaf wanita perlukan pusat transit untuk mula kehidupan baharu Menerusi kejadian itu, Jasmin mengalami kerugian sebanyak RM260 setelah ditipu seorang peniaga wanita yang menyamar sebagai ejen penjual al-Quran di Melaka. Posting mengenai penipuan itu yang dimuat naik oleh Jasmin di laman Twitter. "Saya tempah al-Quran tu sehari selepas masuk Islam. Dua set al-Quran swarovski. Satu untuk saya, satu nak bagi pada kawan. "Saya berhubung melalui Instagram. Selepas buat pembayaran saya minta tracking number dan nombor telefon, dia tak bagi. Selepas itu dia block saya. "Masa tahu kena tipu, saya hubungi kawan dan saya menangis agak lama juga. Saya menangis bukan sebab duit tapi sebab nak al-Quran," ujar Jasmin sewaktu dihubungi mStar pada Jumaat. Mak pernah cakap, kalau nak masuk Islam, masuklah. Tak ada halangan pun. Keluarga saya pun semua terima. NUR JASMIN NADEERA TOH CHIN HOCK Hikmah di sebalik kejadian itu, Jasmin tidak menyangka ramai pihak mahu menghadiahkan al-Quran kepadanya selepas kisah itu tular di laman Twitter. "Ada beratus reply, ada yang minta alamat untuk bagi al-Quran. Saya dapat lebih kurang 10 naskah al-Quran. "Sekarang ni dalam proses untuk dipos kepada saya. Alhamdulillah, bersyukur sangat. Saya pun memang suka baca," katanya lagi. Jasmin bersama adiknya, Randy yang memeluk Islam pada 2 Mei lalu. Selain Jasmin, adik lelakinya, Randy Toh Wei Kin turut memeluk Islam di Majlis Agama Islam Melaka, Balai Islam, Kompleks Darul Huda, Melaka pada minggu lalu. Kini, Randy yang berusia 17 tahun dikenali dengan nama Abdul Dayyan Toh Chin Hock. Malah, proses berkenaan turut dihadiri ibu bapa mereka, Toh Chin Hock, 45, dan Lanny, 47. Dalam pada itu, Jasmin memaklumkan dia sudah mendapat nama penuh serta alamat scammer berkenaan. Jika berkelapangan, dia juga mahu berkunjung ke kediaman wanita itu untuk bersemuka dengannya. "Tengok alamat tu dia orang Melaka juga. Saya cuma nak tanya sebab apa dia tipu orang mengenai al-Quran? "Kalau dia betul-betul perlukan duit, InsyaAllah kalau untuk bekalan anak dia makan, saya halalkan, cuma tak nak dia ulang lagi," katanya lagi. Jasmin mula belajar bertudung sejak berusia 15 tahun. Mengulas hari penuh bersejarah itu, Jasmin berkata dia mula mendekati Islam sejak berusia 15 tahun. "Pada waktu itu, saya dah ramai kawan beragama Islam. Sepupu pun ada yang Islam. Bila dia baca al-Quran, saya dengar dan rasa sejuk hati. Saya juga belajar bertudung sejak usia 15 tahun. "Mak pernah cakap, kalau nak masuk Islam, masuklah. Tak ada halangan pun. Keluarga saya pun semua terima," kata anak kedua daripada empat beradik itu. Bercerita mengenai Ramadan, Jasmin mengakui tidak berdepan sebarang kesulitan memandangkan dia pernah berpuasa pada tahun sebelum ini. Malah, dia juga terharu apabila ibunya sanggup bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan juadah sahur buatnya.