suria

Dulu wanita ini jual barang peribadi untuk kahwin, kini terpaksa buat jualan lagi selepas disahkan sakit buah pinggang kronik

Raihan selepas menjalani rawatan dialisis. Foto ihsan Raihan Mohd Ali

GARA-gara enggan menyusahkan kedua ibu bapanya ditambah pula suami baru kehilangan kerja, seorang wanita sanggup menjual barang-barang preloved untuk menampung kos rawatan dialisis buah pinggangnya.

Perkongsian Raihan Mohd Ali di Twitter mengenai jualan barang preloved miliknya mencuri tumpuan ramai apabila diulang kicau sebanyak 22,300 kali dan mendapat 5,700 tanda suka.

Menurut Raihan, dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kira-kira lima bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rasa teruk terima duit derma" - Gadis hidap kanser limfoma rayu bantuan, beli 'naskhah cinta'

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama hidap kanser, hubungan pasangan kekasih tak goyah, "Kami selalu berjanji... kena kuat dan lawan apa saja"

"Dua-dua buah pinggang saya kecut. Sebelum ni tak sakit tapi penyakit itu terus shoot end stage. Penyakit ini sampai stage 5, lepas stage 5 tu end stage. Sekarang saya dah end stage.


Tweet Raihan mendapat perhatian netizen.

"Saya dapat tahu lima bulan lalu. Masa tu kaki bengkak dan sukar bernafas jadi terus pergi hospital. Bila doktor beritahu dah end stage terkejut jugalah sebab saya baru dua tahun berkahwin," katanya ketika dihubungi mStar.

Sejak itu, Raihan yang bekerja di syarikat swasta berkata dia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di sebuah pusat rawatan swasta di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dengan kos yang agak tinggi.

"Kos dialisis agak mahal, satu sesi RM200. Saya kena buat tiga kali seminggu. Jadi total dalam setahun kos dalam RM28,000 jugalah.

"Itu tak termasuk lagi ubat. Saya pun ada masalah tak cukup darah jadi kena beli ubat untuk tambahkan darah," katanya yang dinasihatkan doktor untuk tidak hamil dalam masa terdekat.

Lantaran itu, wanita berusia 27 tahun ini tiba-tiba terfikir satu idea untuk mengurangkan beban kewangannya.

"Memandangkan kos perubatan penyakit saya ini agak mahal, jadi saya fikir baik saya buat jualan preloved memandangkan barang-barang saya pun banyak.

"Sebelum ini pun baju saya saiz XS, selepas buat dialisis berat badan saya naik sedikit. Disebabkan baju dah tak muat why not saya jual. Lagipun duit lebih tu boleh top up bayar kos dialisis saya," katanya.

Antara barang preloved yang dijual Raihan. Foto ihsan Raihan Mohd Ali.

Sejak hantarannya tular, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu berkata barang prelovednya sudah habis terjual dalam masa sehari.

"Saya jual murah-murah je dalam RM30... RM40 sebab baju dah lama. Sambutan luar biasa. Alhamdulillah semua dah sold out. DM (Direct Message) tak terbalas.

"Hasil jualan tu saya dapat RM2,500. Bolehlah cover kos rawatan dialisis untuk sebulan dua. Lagipun saya tak nak susahkan dan buat ibu bapa saya bimbang," katanya.

Raihan berkata dia turut melakukan jualan preloved ketika mahu berkahwin dua tahun lalu.

"Kiranya ini bukan kali pertama saya buat jualan seperti ini. Dulu masa nak kahwin pun saya jual tudung Duck edisi terhad yang saya ada di Instagram. 

"Saya ni memang peminat tudung Duck. Banyak jugalah koleksi. Daripada tak pakai saya jual sebahagian daripadanya. Alhamdulillah semuanya sold out," katanya.


"Suami saya sanggup dermakan satu buah pinggang dia. Tempoh hari kami dah buat crossmatch, Alhamdulillah matching.

RAIHAN MOHD ALI 

Pesakit buah pinggang kronik

Pada masa sama, Raihan turut terharu dengan sikap netizen yang sanggup menderma wang untuk membantu kos rawatan dialisisnya itu.

"Saya tak sangka ramai baca thread saya tu. Ada yang DM bukan nak beli tapi dermakan je duit. Mereka kata nak bagi sedekah sempena bulan Ramadan.

"Walaupun sikit tapi saya amat hargai sumbangan mereka. Saya juga terharu dengan keprihatinan orang ramai," katanya.

Ditanya mengenai punca penyakit itu, anak kedua daripada tiga beradik ini berkata ia disebabkan sistem pertahanan badannya yang lemah.

Raihan bersama suaminya, Muhammad Rafiq. Foto ihsan Raihan Mohd Ali.

"Penyakit ini boleh dikatakan rare sebab saya tak makan ubat kampung, ubat kurus mahupun ubat putih. Doktor kata mungkin antibodi saya lemah.

"Ia juga disebabkan pengalaman terdahulu saya. Sebelum ini saya kerja events. Kalau tak cukup tidur penyakit ini boleh jadi walaupun tak makan ubat-ubat ini," katanya.

Susulan itu, Raihan berkata dia akan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang yang didermakan suaminya, Muhammad Rafiq Abdul Rahman, 27, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada akhir tahun ini.

"Suami saya sanggup dermakan satu buah pinggang dia. Tempoh hari kami dah buat crossmatch, Alhamdulillah matching.

"Saya harap pembedahan itu akan berjalan dengan lancar dan lepas dua tiga tahun saya boleh mengandung semula. Harap kehidupan kembali normal," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain