suria

Pemandu Grab hilang: Aunty buat pengecaman, mayat dah kembung, “Naluri saya kata memang dialah...”

Polis sedang menyiasat mayat yang sudah kembung dah terjejas ketika ditemui di Kampung Shahbandar di Tuaran.

LAMAN Facebook pemandu Grab yang hilang, Mohd Hanafiee Jaffar dihujani ucapan takziah daripada sahabat dan juga netizen sejak malam Isnin.

Ia sekali gus menguatkan jawapan kepada teka-teki penemuan mayat yang ditemui di Kampung Shahbandar di Tuaran pada Isnin bahawa ia adalah pemandu perkhidmatan e-Hailing itu.

Namun Rafidah Linggam, ibu saudara kepada Mohd Hanafiee ketika dihubungi mStar memberitahu dia dan ahli keluarga yang lain masih tidak dapat mengesahkan sama ada mayat yang ditemui itu adalah mayat Mohd Hanafiee atau sebaliknya.

Katanya, pengesahan identiti mayat itu hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang disahkan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang sejak Sabtu lalu, darah ditemui dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kaitan pemandu Grab hilang dengan penemuan mayat

Bagaimanapun wanita berusia 35 tahun itu berkata berdasarkan naluri hatinya dia yakin dan hampir pasti bahawa mayat itu adalah anak saudaranya.

"Kalau tengok dari keadaan baju, kaki memang mangsalah tapi belum pasti sepenuhnya. Tapi naluri saya sendiri mengatakan memang dialah... memang dia.

Stereng kereta mangsa ditemui ada kesan darah.

"Saya ikut pergi cam mayat dan keadaan mayat sudah mengembang. Jadi agak sukar mahu pastikan dari bahagian muka sebab muka pun sudah nampak lain.

"Jadi untuk pengesahan rasmi kami kena tunggu keputusan post mortem. Buat masa ini saya dimaklumkan post mortem belum lagi dijalankan. Semua ahli keluarga tengah menunggu," katanya.

Dalam pada itu, Rafidah memberitahu dia terkejut dengan nasib menimpa anak buahnya itu kerana dia disifatkan sebagai seorang anak yang amat baik.

"Memang kejam orang yang buat dia macam tu. Saya sendiri tak percaya sebab dia memang orang yang baik. Dia juga amat rapat dengan adik-beradik, tidak pernah gaduh. Paling terkesan adik bongsu dia.

"Dia memang orang yang baik tak pernah cakap kasar, tak pernah ada apa-apa masalah dengan orang lain. Tak pernah bergaduh... dia bukan begitu," katanya.

Rafidah turut mendedahkan anak kedua daripada lima beradik itu turut merancang untuk bertunang selepas Aidilfitri ini.

Kereta mangsa ditemui berhampiran bazar Ramadan di Indah Permai, awal pagi Ahad.

"Paling sedih lepas Raya dia ada rancang nak bertunang. Dia pun tengah kumpul duit dan segala keperluan lain. Tapi apa boleh buat, kita hanya merancang tapi Allah yang maha mengetahui segalanya," katanya.

Sejak Ahad, tular di media sosial mengenai Mohd Hanafiee yang bekerja sebagai pemandu Grab sepenuh masa dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga dan rakannya sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun kereta dipandu mangsa ditemui di kawasan tapak Bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar, pada 12.30 tengah malam Ahad lalu.

Pemeriksaan mendapati kereta mangsa berkunci sebelum menyedari terdapat kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain