"MINGGU ni check-in hospital, bawa sekali persiapan raya koko-crunch dan susu", demikian luahan seorang pemuda yang menghidap kanser testikel tahap 3. Pemuda kelahiran Shah Alam, Selangor, Muhammad Farhan Zaimi ini tidak mahu ketinggalan berkongsi persiapan rayanya, biarpun ia tidak serancak orang lain. Menurut Farhan, dia belum pasti sama ada akan beraya bersama keluarga di rumah atau di hospital kerana segalanya bergantung kepada tahap kesihatannya serta rawatan kimoterapi. ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama hidap kanser, hubungan pasangan kekasih tak goyah, “Kami selalu berjanji... kena kuat dan lawan apa saja” ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terpaksa pakai tuala wanita, pampers” - Tiga tahun latihan, lelaki ini reda tak dapat pentauliahan "Kalau keadaan saya baik selepas kimoterapi yang masuk kitaran ketiga minggu ni, sudah tentu akan pulang ke Shah Alam, kalau tak okay, berayalah di hospital. Lagipun saya dah sediakan makanan sendiri, koko crunch dan susu. "Saya harap rawatan kimo kali ini tidak ada kesan yang memenatkan saya. Alhamdullilah cycle kedua kira-kira dua minggu lalu saya okay," kongsi pemuda berusia 28 tahun ini kepada mStar mengenai rawatan kimoterapi yang perlu dijalani sebanyak lima kali. Farhan akui akan terus berjuang untuk sembuh. Foto kredit: yamato.han Anak kacukan Cina-Melayu ini mengakui kehidupannya berubah 360 darjah sejak setahun lalu. Mengimbas kembali detik-detik awal berdepan dengan kanser testikel ini, Farhan berkata ia berlaku seperti 'kilat'. "Satu malam pada awal 2018, saya masuk bilik dan tidur seperti biasa. Keadaan fizikal saya semua okay, tapi lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi saya rasa buah zakar seperti disepak. Terlalu sakit! "Saya cuba bangun dan melihatnya. Sungguh terkejut kerana ia membengkak sebesar penumbuk. Ketika itu saya terus jerit panggil ibu bapa saya. "Ibu saya, Noorzeah Jabran minta nak tengok, saya agak malu, yelah kita kan dah dewasa. Tetapi nak tak nak saya terpaksa bagi dia lihat. Farhan sempat memuat naik status di Instastory sebelum menjalani rawatan kimoterapi ketiganya pada Isnin. Foto kredit: Instagram yamato.han "Ibu saya cakap mungkin hernia, tapi tiba-tiba fikiran saya terdetik 'macam kanser'," ceritanya yang bertahan sehingga keesokan harinya untuk melakukan pemeriksaan di Hospital Shah Alam. Menurut Farhan, kunjungan ke Hospital Shah Alam membawa kepada kesnya dirujuk ke Bahagian Onkologi & Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Temujanji di HKL membawa saya kepada sesi seterusnya apabila perlu menjalani pembedahan untuk pihak hospital mengenal pasti penyakit saya dan selepas tiga bulan, saya disahkan menghidap kanser testikal tahap 3. "Memang pada mulanya sedih, tetapi lama-kelamaan saya reda dan menerima ujian dari Allah ini. Apa yang saya lalukan adalah sentiasa berfikiran positif walaupun ada satu tahap saya tidak boleh tidur kerana terlalu sakit," jelasnya yang sentiasa ceria. Jelas anak bongsu daripada lima beradik ini, sejak disahkan sakit dan menjalani kimoterapi pertama, anggota fizikalnya agak lemah berbanding sebelum ini. Paling penting, dalam sebulan, perlu ada 'cheat day'. Makan apa sahaja yang teringin kerana hari esok belum tentu kita dapat makan lagi. MUHAMMAD FARHAN ZAIMI Pesakit kanser testikel "Saya diberhentikan kerja kerana tidak mampu melakukan tugas-tugas dengan baik, walaupun untuk membuka laci," katanya yang bersyukur dengan kehadiran keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk melalui fasa terkini dalam hidupnya. Kata Farhan lagi, hidupnya kini hanya bergantung dengan ubat saraf dan penahan sakit. "Kadang-kadang saya tidak boleh rasa gerak badan sendiri, malahan ada juga saya terkencing tapi secara tidak sedar. "Ada hari-hari saya tidak boleh baring kerana sakit di bahagian belakang," katanya. Setakat ini Farhan mengakui dia masih mampu bertahan dan percaya dirinya akan sembuh. "Segalanya bergantung kepada rawatan kimo yang kelima. Jika doktor bagitau dah okay, sudah tentulah saya bersyukur. "Namun kalau kanser itu masih aktif, saya perlu tambah lagi rawatan kimo, tapi buat masa sekarang, perkara yang paling saya risau adalah kos rawatan yang setakat ini telah mencecah RM17,000. "Saya sebenarnya segan untuk meminta bantuan. Tetapi kawan-kawan saya terutama rakan belajar di Politeknik banyak membantu. "Ramai juga yang menderma kepada saya. Lebih membuatkan saya sayu adalah sumbangan daripada pelbagai bangsa dan agama. Hanya ucapan syukur yang mampu saya ucapkan," jelasnya. Farhan bersama teman wanitanya sebelum didianogsis kanser testikel tahun lalu. Foto kredit: Instagram yamato.han. Dalam pada itu, Farhan mengakui selain sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan, teman wanitanya juga antara faktor dia menjadi seorang yang kuat. "Saya pernah minta dia tinggalkan saya dan cari pasangan yang sihat serta dapat selalu berada dengannya, tapi saya pula dimarahnya kerana membuat permintaan yang bukan-bukan. "Saya cuma mahu dia gembira kerana tidak tahu boleh hidup sampai bila. Apabila dia 'menyinga' tentang perkara itu, saya terus terdiam dan berserah kepadaNya," tambah Farhan. Farhan turut berkongsi tip kepada semua pesakit kanser lain. "Tidak kira kanser apa, kita perlu berdisiplin menjaga pemakanan. Apa yang tidak boleh makan, jangan makan. "Jangan bersedih. Kalau rasa down, jangan duduk sorang-sorang tapi berboraklah dengan mak ayah atau sesiapa saja. "Dan paling penting, dalam sebulan, perlu ada cheat day. Makan apa sahaja yang teringin kerana hari esok belum tentu kita dapat makan lagi. "Cheat day saya pastinya akan makan macam-macam dari pagi sampai malam seperti, pizza, KFC, McDonald dan sebagainya," jelasnya sambil ketawa.