suria

Suami dah bagi peringatan, tapi peminat Arsenal ini nekad terbang solo ke Azerbaijan tonton final Liga Europa, “Kalau kalah, tak kisahlah”

Nadia sewaktu berkunjung ke Stadium Emirates tahun lalu.

SEORANG peminat Arsenal sanggup menempuh perjalanan selama 26 jam berseorangan ke luar negara semata-mata untuk memberi sokongan padu buat pasukan kesayangannya itu.

Arsenal akan bertemu Chelsea pada aksi final Liga Europa di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan pada pukul 3 pagi Khamis ini.

Bukan itu sahaja, wanita kelahiran Selama, Perak itu sanggup membelanjakan RM5,100 untuk tiket penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Baku dan RM422 (90 euro) bagi tiket aksi final tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Liverpool punya hal, bos bikin staf tak senang duduk!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Perak tak kekok bergaya tengok bola di Rusia

Perkara itu dikongsi wanita tersebut di Twitter miliknya pada Ahad lalu.

Nadia selamat tiba di Baku pada petang Isnin.

Nurul Nadiah Noor Azlan atau lebih mesra disapa Nadia selamat tiba di Baku kira-kira pukul 5 petang Isnin (waktu Malaysia).

"Selepas dua kali tukar airport, naik pula tiga flight akhirnya saya selamat sampai di Baku. Bila sampai tu penat juga sebab perjalanan lebih sehari.

"Rasa menggigil badan mungkin sebab penat sepanjang perjalanan dan berpuasa. Tapi Alhamdulillah lepas sampai mandi dah fresh sikit. Lepas tu saya siap keluar jalan lagi di Baku," katanya kepada mStar.

Wanita berusia 34 tahun itu mendedahkan pada awalnya dia sendiri belum pasti mahu ke sana tetapi meminta kawannya untuk membeli tiket perlawanan tersebut terlebih dahulu.

"Tiket perlawanan itu saya senang dapat sebab saya ada kawan kerja dekat Baku. Jadi masa Arsenal menang lawan Valencia (separuh akhir) saya terus mesej dia tanya senang tak nak dapat tiket.

"Tiket perlawanan memang problem sebab allocation sikit... 6,000 untuk Arsenal dan 6,000 lagi untuk Chelsea. Jadi macam mustahil untuk dapatkan tiket tu. Tapi kawan saya kata ada tiket untuk host country.

"Dia check sehari selepas semifinal kata tiket banyak lagi. Saya pun suruh dia belikan. Harga tiket tu 90 euro, kalau kat sana itulah seat yang paling best. Tapi saya 50/50 lagi masa tu sebab tiket flight mahal," katanya.

Nadia dan suaminya meminati pasukan berbeza.

Namun Nadia berkata dia nekad dengan keputusannya selepas menerima sokongan daripada suaminya, Mohd Khairul Nizam.

"Suami saya penyokong Manchester United. Dia kata jika saya jadi kamu saya akan pergi. Tapi kena ingat satu benda kalau kalah pedih nak balik sebab perjalanan jauh.

"Lepas tu saya pun terfikir alamak macam mana kalau Arsenal kalah ini. Tapi saya kata pada diri sendiri tak pelah sebab tiket perlawanan dah beli, bukan senang nak dapat.

"Orang London dekat UK pun susah nak dapat tiket, kita senang nak dapat why not just go. Saya ajaklah dua tiga kawan tapi semua tak boleh pergi. Jadi saya pun nekad pergi seorang," katanya.

Walaupun Arsenal lama tak menang liga saya tak pernah terfikir nak tukar team. Saya memang betul-betul minat Arsenal. Orang kata die hard Arsenal fan.

NURUL NADIAH NOOR AZLAN. 

Peminat Arsenal.

Dek kerana terlewat dua hari sahaja, Nadia berkata, dia terpaksa menempuh perjalanan lebih panjang menggunakan tiket yang lebih murah.

"Masa fikir nak pergi ke tak tu dah makan masa dua hari. Tengok-tengok tiket flight semua dah mahal daripada RM3,700 jadi RM6,000 ++. Jadi tiket paling murah saya boleh dapat saya kena naik dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

"Lepas tu saya tukar airport dari Don Mueang ke Suvarnabhumi, lepas tu naik Turkish Airlines. Kemudian terpaksa layover dekat Istanbul. Dari Istanbul barulah sampai ke Baku. Agak renyah jugalah tapi saya berjaya mengharungi perjalanan panjang itu," katanya.

Eksekutif Kanan di sebuah syarikat swasta itu berkata dia amat meminat Arsenal sejak 20 tahun lalu.

Nadia bergambar bersama patung Thiery Henry.

"Saya minat Arsenal sejak Thiery Henry sertai pasukan itu. Kiranya dah 20 tahun. Alhamdulillah saya dapat pergi Stadium Emirates tahun lalu. Sampai je stadium tu saya terus menangis. Kira itu saya punya ultimate travellah.

"Walaupun Arsenal lama tak menang liga saya tak pernah terfikir nak tukar team. Saya memang betul-betul minat Arsenal. Orang kata die hard Arsenal fan.

"Lagipun saya memang suka travel. Tapi tak pernah terfikir boleh ke Azerbaijan. Jadi alang-alang dah pergi tengok bola tu bolehlah melancong kat sana sekali," katanya.

Ditanya mengenai ramalannya untuk pertembungan sengit itu, Nadia yakin Arsenal akan menewaskan Chelsea.

"Boleh menang sebab Unai Emery pakar Europa. Lagipun dia banyak kali menang Europa bersama Sevilla. Saya ramal Arsenal menang 3-1. Dua gol dijaringkan Pierre- Emerick Aubameyang dan satu gol dari Alexandre Lacazette," katanya.

Sekiranya Arsenal kalah, Nadia berkata dia tidak kisah mengenainya.

"Tak kisah yang penting dapat tengok Arsenal main live depan mata. Tapi saya yakin Arsenal akan menang sebab mereka perlu menang untuk dapat slot main di Liga Juara-Juara Eropah musim depan," katanya yang akan kembali ke tanah air pada Ahad ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain